SUKAN > BERITA

Tiga syarikat tawar ganjaran tunai RM2 juta kepada pemenang emas pertama Malaysia

26/07/2024 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Tiga penaja daripada sektor korporat sedia menawarkan ganjaran tunai RM2 juta kepada atlet negara yang berjaya melunaskan misi membawa pulang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga syarikat berkenaan iaitu Yinson Holdings Berhad, Matrix Concepts Holdings Berhad dan juga MJ Health Screening Centre menyuntik semangat 26 atlet negara ke temasya yang akan membuka tirai secara rasminya malam ini.

“Yinson Holdings Berhad akan menyumbang sebanyak RM1 juta manakala Matrix Concepts Holdings Berhad dan juga MJ Health Screening Centre masing-masing memberikan sejumlah RM500,000.

“Justeru, jumlah keseluruhan ialah RM2 juta bakal diterima atlet yang memenangi pingat emas pertama Malaysia di Paris. Sekiranya lebih seorang atlet memenangi pingat emas, wang akan dibahagikan sama rata antara mereka,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam kenyataan sama berkata tajaan berkenaan akan membakar semangat kesemua atlet bertanding untuk mencapai sasaran emas pertama Malaysia di temasya berprestij dunia itu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua penaja atas tajaan yang diberikan dan kepercayaan bahawa atlet Malaysia mampu untuk membawa pulang emas pertama buat negara. Saya yakin semua atlet akan berusaha memberikan yang terbaik di bumi Paris,” katanya.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan insentif berkenaan memberi inspirasi untuk mendapatkan pingat emas pertama negara.

Terdahulu, Top Residency memberikan sumbangan RM1 juta dalam nilai hartanah iaitu pangsapuri perkhidmatan mewah manakala Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Berhad Lim Keng Heng menawarkan RM1 juta kepada pemain badminton negara Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie di bawah program Bakat Badminton SS.

Pengeluar kereta dari China, Chery Malaysia turut tampil dengan hadiah kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang memenangi sebarang pingat di Sukan Olimpik.

Upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung pada 7.30 malam ini (1.30 pagi Sabtu, waktu Malaysia).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan