SUKAN > BERITA

Indonesia, Filipina sah tidak sertai King's Cup 2024 di Thailand - ISTAF

26/07/2024 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Edisi ke-37 Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai (King’s Cup)  hilang seri apabila dua semi-finalis acara regu berpasukan Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF, Indonesia dan Filipina mengesahkan tidak menyertai kejohanan kali ini.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) Abdul Halim Kader berkata penarikan diri Persatuan Sepaktakraw Indonesia (PSI) kerana perlu memberikan tumpuan kepada Pekan Olahraga Nasional (PONI) ke-21 berlangsung pada 8 hingga 20 Sept manakala Persatuan Sepaktakraw Filipinan (PSTA) tidak mengemukakan sebarang alasan sehingga tarikh akhir pada 14 Julai lepas.

“Namun luka ketidakhadiran dua buah negara Divisyen Perdana tersebut diubati apabila Laos dan Kemboja yang tidak menyertai Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF di Kuala Lumpur telah mengesahkan penyertaan pada kejohanan di Korat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halim berkata King’s Cup yang akan berlangsung di Korat, Thailand pada 1 hingga 8 Sept itu mencatat sejarah penyertaan terbesar dengan penampilan 555 pemain terdiri daripada 341 lelaki dan 214 wanita dalam saingan tiga divisyen.

Beliau berkata 12 negara telah mengesahkan penyertaan Divisyen Pertama membabitkan 211 pemain lelaki dan 167 wanita.

“Divisyen 1 akan menyaksikan penyertaan juara Piala Dunia ISTAF diketuai Iran, New Zealand, Pakistan. Sri Lanka, Switzerland, Taiwan, Australia, Bangladesh dan Oman manakala Divisyen 2 pula dibarisi Iraq, Afghanistan, Argentina, Itali, Timor-Leste dan Poland.

“Acara regu berpasukan merupakan acara kemuncak kejohanan selain disusuli lima lagi acara  dipertandingkan iaitu antara regu, kuadran (berempat), regu campuran, kuadran campuran dan gelung,” katanya. 

Beliau berkata regu adalah acara wajib disertai oleh semua negara dalam Divisyen Perdana di samping boleh memilih dua lagi acara daripada Kumpulan A dan B serta pilihan acara gelung dalam Kumpulan C.

Thailand selaku tuan rumah, hanya boleh memilih untuk menyertai acara antara regu atau kuadran dalam Kumpulan A dan antara regu campuran atau kuadran campuran dalam Kumpulan B.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan