SUKAN > BERITA

500 Atlet Kanak-kanak Istimewa Bakal Sertai Special Children Games 2024

26/07/2024 04:47 PM

IPOH, 26 Julai (Bernama) -- Seramai 500 kanak-kanak dan remaja istimewa bersama keluarga dijangka menyertai Perak Special Children Games 2024 anjuran Persatuan Penggerak Rekreasi Sejahtera Ipoh Perak di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Sukan Perak, dekat sini pada 3 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran berkenaan Howard Lee Chuan How berkata karnival sukan yang julung kali dianjurkan di Malaysia itu bakal menghimpunkan atlet kanak-kanak dan remaja istimewa dari seluruh negeri termasuk dari Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Putrajaya dan Sarawak. 

Beliau berkata karnival itu dianjurkan bersama Persatuan Special Olympics Perak, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi mengembangkan pengetahuan dan meningkatkan keyakinan diri atlet istimewa terbabit. 

"Penganjuran karnival ini untuk menonjolkan pembabitan semua pihak terutama anak istimewa bersama ibu bapa untuk terlibat secara langsung dengan aktiviti sukan terpilih iaitu olahraga, bocce, ping pong dan badminton. 

"Sasaran kita adalah peserta yang mengalami masalah kurang upaya intelektual yang tersenarai di bawah kategori Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran 18 tahun ke bawah," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Howard yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata program itu memberi pendedahan terbaik kepada anak istimewa sekali gus kepada masyarakat bahawa anak berkeperluan khas ini tidak sepatutnya hanya berada di rumah.

"Kita mahu didik masyarakat bahawa mereka (anak istimewa) ini sama seperti kanak-kanak yang lain dan boleh bersukan selain menunjukkan bakat masing-masing agar bakat mereka boleh dicungkil. 

"Selain itu kita mahu membantu untuk tingkatkan interaksi sosial dan fizikal mereka termasuk emosi anak-anak istimewa ini dengan meraikannya melalui penganjuran karnival sukan bersama ahli keluarga mereka sendiri," katanya. 

“Majlis perasmian pembukaan karnival ini akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad malah akan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh. 

"Selain karnival sukan, turut dianjurkan ialah aktiviti ceramah sains sukan, pameran dan pemeriksaan kesihatan, klinik gigi bergerak, kaunter pendaftaran kad OKU, jualan makanan dan peralatan kesihatan serta jualan Rahmah," tambah Howard.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan