SUKAN > BERITA

Chong Wei harap kontinjen negara bawa pulang emas pertama Olimpik dari bumi Paris

26/07/2024 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei meminta semua pihak tidak putus berdoa serta sokongan kepada kontinjen negara dalam misi mengharumkan nama Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirai secara rasmi awal pagi ini waktu Malaysia.

Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia dan pemenang tiga pingat perak Olimpik itu berharap dengan doa dan sokongan berterusan kontinjen negara dapat kembali dengan membawa pulang pingat emas pertama negara yang dinanti-nantikan selama ini.

“Gemuruh jiwa, semangat di dada, Team Malaysia! Serulah semua, Malaysia Boleh! Temasya sukan terbesar dunia kini kembali ! Kepada atlet, tunjukkan yang terbaik, demi lencana di dada!.

“Yang menyokong seperti saya, jangan putus berdoa dan menyokong agar skuad kebaangsaan dapat kembali dengan emas pertama negara. Jangan cemas! Malaysia boleh,” tulisnya dalam hantaran Facebook rasmi beliau, malam ini.

Pada masa sama Chong Wei turut mengingatkan barisan atlet negara agar tidak cemas sewaktu pertandingan.

Beliau secara berseloroh berkongsi kisah lucu sewaktu kali pertama beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004.

Menurut beliau, kisah lucu tersebut secara tidak langsung menghilangkan perasaan gementar dan membolehkannya meraih kemenangan untuk mara ke pusingan kedua.

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung sehingga 11 Ogos depan.

Malaysia menghantar 26 atlet dan 40 pegawai pada edisi kali ini.

Malaysia yang membuat kemunculan sulung di Olimpik pada edisi 1956 di Melbourne, Australia,memenangi keseluruhan lapan pingat perak dan lima gangsa dengan badminton menjadi penyumbang tertinggi iaitu enam perak dan tiga gangsa.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan