SUKAN > BERITA

Liga Super: Nafuzi akui kecewa KDA FC gagal raih tiga mata bertemu Kuching City

27/07/2024 10:33 AM

ALOR SETAR, 27 Julai (Bernama) -- Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Mohd Nafuzi Zain mengakui kecewa selepas pasukannya gagal meraih tiga mata berharga bertemu Kuching City dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.

Mohd Nafuzi menganggap kemenangan sepatutnya menjadi milik pasukannya yang telah bermain dengan baik dan menguasai sebahagian besar permainan serta mendahului dengan satu jaringan sehingga masa tambahan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata KDA FC terpaksa akur dengan keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang memberikan sepakan penalti kepada pasukan lawan pada masa tambahan mengakibatkan keputusan 1-1 sehingga wisel penamat.

“Keputusan ini agak mengecewakan, sepatutnya tiga mata di tangan kita, cuma minit terakhir keputusan VAR memberikan penalti, tapi satu mata juga berharga dan dari segi prestasi pemain, dari awal cara permainan pasukan nampak menguasai permainan.

“Tidak ada masalah dari segi mutu permainan, cuma di bahagian serangan saya rasa kita mempunyai peluang tapi tak dapat tambah jaringan, dari segi sumbangan dan kesungguhan pemain semuanya baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang menyaksikan skuad Kenari sekadar mengutip satu mata selepas terikat 1-1 bertemu Kuching City di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.

Pada perlawanan itu, KDA FC terlebih dahulu membuka jaringan pada babak kedua permainan menerusi Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-60 yang menanduk masuk bola ke gawang Kuching City selepas menerima hantaran jauh Habib Haroon.

Bagaimanapun, pasukan pelawat yang terus membuat asakan berbahaya sehingga lewat perlawanan dihadiahkan sepakan penalti selepas Kipre Tcheche dijatuhkan Irfan Zakaria di dalam kotak penalti pada masa tambahan dan disempurnakan Jordan Mintah.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak berkata keputusan 1-1 bertemu KDA FC di tempat lawan cukup memberi kelegaan kepada pasukannya yang rata-rata terdiri daripada pemain muda dan kurang berpengalaman.

Aidil berkata beliau berpuas hati dengan corak permainan ditunjukkan pemainnya dan berharap prestasi itu dapat dikekalkan dalam perlawanan seterusnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan