SUKAN > BERITA

Paris 2024: Tang Jie-Ee Wei Gegarkan Porte De La Chapelle

29/07/2024 04:27 PM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 29 Julai (Bernama) -- Kem badminton negara melakar satu lagi kejutan di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila gandingan Cheng Tan Jie-Toh Ee Wei berjaya menjinakkan pasangan nombor dua dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China pagi ini.

Pertarungan  selama 70 minit di Porte de La Chapelle Arena itu menyaksikan beregu campuran negara yang menduduki ranking kesembilan dunia meraih kemenangan menakjubkan 17-21, 21-15, 21-16 untuk melangkah ke suku akhir selaku juara Kumpulan D.

Setelah tewas di set pertama, Tang Jie-Ee Wei bangkit menggegar venue pertandingan yang dibanjiri kira-kira 8,000 penonton seawal 8.30 pagi waktu tempatan, dengan mempamerkan permainan terbaik mereka untuk mendominasi dua set berikutnya.

Berdasarkan format perlawanan, Tang Jie-Ee Wei dijangka akan berdepan naib juara kumpulan dan hanya akan diketahui dalam undian esok, selepas kesemua aksi peringkat kumpulan acara beregu selesai.

Naib juara Terbuka Switzerland dan Masters Thailand itu memulakan kempen pada Sabtu menewaskan pasangan Singapura Terry Hee-Jessica Tan 23-21, 21-12, sebelum meraih kemenangan kedua mengatasi wakil Amerika Syarikat 21-15, 24-22.

Semalam, beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah mengejutkan beregu nombor enam dunia dan bekas juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 18-21, 21-15, 21-16 dalam aksi Kumpulan A untuk menghidupkan peluang mereka ke suku akhir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan