SUKAN > BERITA

Kurang Keyakinan Punca Perak FC 'Terkulai' Di Laman Sendiri

31/07/2024 12:05 PM

IPOH, 31 Julai (Bernama) -- Hilang fokus dan kurang keyakinan menjadi punca utama Perak FC masih gagal mencipta kemenangan selepas mengharungi tiga perlawanan Liga Super di laman sendiri.

Pengendali Perak FC Yusri Che Lah berkata pemain The Bos Gaurus perlu menanam mentaliti untuk menang terutamanya di depan penyokong sendiri.

“Sebagai contoh, perlawanan malam ini (menentang Kuching City FC), anda dapat lihat kita beraksi amat baik di separuh masa pertama dan berjaya menembusi gawang lawan. Namun, momentum itu tidak dapat diteruskan di babak kedua permainan selain pemain seolah-olah tidak punya keinginan untuk menang.

“Apa yang saya nampak kurang keyakinan itu antara sebab prestasi kita terumbang-ambing di saingan liga, untuk meningkatkan (keyakinan) bukan sesuatu yang mudah, namun tidak mustahil jika pemain mempunyai keazamaan untuk berubah,” katanya ketika ditemui di Stadium Perak di sini, malam tadi.

Pada perlawanan malam tadi, Perak FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tumpas 1-2 kepada Kuching City FC hasil jaringan Jordan Mintah pada minit ke-69 dan Tchetche Kipre diminit ke-76 manakala gol sagu hati tuan rumah dicetak Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ketujuh.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan, Perak FC menghuni tangga kesembilan liga dengan enam mata manakala Kuching City pula di kedudukan keempat dengan 10 mata.

Selain itu, Yusri berkata masih banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan lebih-lebih lagi lawan selepas ini ialah pasukan gergasi bola sepak negara iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sementara itu, pengendali Kuching City FC Aidil Sharin Sahak memuji pemainnya selepas berjaya meraih kemenangan meskipun ketinggalan pada minit awal permainan.

Beliau berkata kemasukan pemain import kelahiran Namibia Petrus Shitembi banyak membantu dan berjaya mengucar-ngacirkan barisan pertahanan Perak dalam perlawanan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan