SUKAN > BERITA

TFC Tumpu Pemulihan Pemain Hadapi Piala FA

31/07/2024 01:24 PM

KUALA NERUS, 31 Julai (Bernama) -- Skuad Penyu akan memberi tumpuan pada proses pemulihan pemain sebagai persediaan menghadapi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor FC, Sabtu ini.

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner berkata anak buahnya kini berada dalam keadaan keletihan dan kurang kecergasan selepas melalui jadual perlawanan yang agak padat kebelakangan ini.

Beliau berkata situasi itu diburukkan lagi dengan masalah kecederaan yang membelenggu beberapa tonggak utama pasukan.

"Alif (Zakaria) dikeluarkan. Saya harap Ismahell (Akinade) akan kembali … Nijey (Shahrul Nizam Ros Hasni) pula kepenatan.

"(Matthew) Steenvordeen belum begitu cergas … namun, saya faham kerana selepas tujuh bulan di sini beliau hanya bermain dua perlawanan selepas pemulihan daripada kecederaan," katanya selepas perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini malam tadi.

Pada perlawanan itu, skuad Penyu berjaya meraih tiga mata penuh selepas menewaskan NSFC 3-2 hasil jaringan Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Akhyar Rashid dan Chukwu Chijioke, manakala gol skuad kendalian Azzmi Ab Aziz pula disumbangkan Miguel Martinez dan Jacque Faye.

Dalam pada itu, Steinbruckner berkata TFC berhasrat membawa masuk seorang pemain di posisi penyerang pada jendela perpindahan kedua musim ini bagi menggantikan tempat penyerang kelahiran Croatia Ivan Mamut yang terpaksa dilepaskan akibat masalah kecederaan yang berlarutan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan