SUKAN > BERITA

NSFC Rancang Bawa Masuk Pemain Baharu Perkuat Pasukan

31/07/2024 04:03 PM

KUALA NERUS, 31 Julai (Bernama) -- Pasukan Negeri  Sembilan FC (NSFC) merancang untuk membawa masuk beberapa pemain baharu pada tempoh jendela perpindahan kedua yang akan bermula Ogos ini.

Pengendalinya Azzmi Ab Aziz berkata penambahbaikan itu perlu bagi memperkukuh dan memantapkan pasukan terutama di bahagian serangan dan pertahanan tengah.

Beliau berkata faktor saiz dan ketinggian antara kriteria yang bakal dititikberatkan pada pemilihan dua atau tiga pemain baharu kali ini untuk memastikan skuadnya mampu bersaing dengan pasukan lebih besar dan hebat di Liga Malaysia (Liga M).

"Kita dah maklum dan pengurusan juga sedar perkara ini. Kita akan bincang dengan kelab untuk penambahbaikan di posisi penting dan dapatkan 'core player’ untuk kita terus bersaing di liga," katanya selepas perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini malam tadi.

Bagaimanapun Azzmi berkata setakat ini beliau berpuas hati dengan peningkatan prestasi yang dipamer pemain dari awal hingga pertengahan liga.

Beliau berkata pemainnya telah mempamerkan semangat juang yang tinggi pada setiap perlawanan, namun masih banyak aspek yang perlu diperbaiki untuk membolehkan mereka keluar daripada kedudukan tercorot liga.

"Selepas ini kita ada lebih kurang 11 hari persediaan sebelum perlawanan menentang pasukan PDRM FC. Saya harap pemain dapat memberi persembahan lebih baik untuk dapatkan tiga mata," katanya.

Skuad Hobin Jang Hobin ketika ini menduduki tangga tercorot Liga Super selepas mengutip tiga mata dalam enam perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan