SUKAN > BERITA

Slot Automatik Renang Para Untuk Negara, Bukan Individu - Megat

31/07/2024 08:30 PM

PETALING JAYA, 31 Julai (Bernama) -- Presiden Persatuan Renang Para Malaysia (PREPMA) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menegaskan dua slot automatik ke Sukan Paralimpik Paris 2024 daripada Renang Para Dunia (WPS) merupakan kepada negara dan bukan tertumpu kepada individu. 

Bercakap kepada Bernama, Megat yang merupakan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkata segala keputusan pemilihan atlet untuk ke temasya empat tahun sekali itu telah diputuskan Jawatankuasa Pemilihan Atlet berdasarkan tiga kriteria utama yang telah dinyatakan sebelum ini. 

Beliau berkata PREPMA sentiasa telus dalam membuat keputusan pemilihan atlet menerusi jawatankuasa pemilihan dibarisi MPM, Majlis Sukan Negara (MSN), dan Institut Sukan Negara (ISN) berdasarkan kriteria yang telah digunakan pada setiap temasya sukan antarabangsa yang disertai negara. 

“WPS memberi slot untuk negara, bukan untuk individu atau seseorang atlet, dan negara akan memilih atlet berdasarkan kriteria yang kita guna selama 10 tahun sebelum ini, bukan hanya PREPMA tapi sukan lain juga begitu.

“Jawatankuasa pemilihan atlet telah memutuskan menghantar dua atlet Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dan Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan dengan mesyuarat tertinggi sudah menetapkan perkara itu pada 18 Julai dan sudah dihantar kepada Penganjur Paralimpik Paris. 

Terdahulu, Walter Lee, bapa kepada atlet renang para negara Zy Kher Lee pada sidang media meminta PREPMA supaya lebih telus dan menjelaskan model penilaian pemilihan atlet ke temasya sukan yang bermula 28 Ogos hingga 8 Sept itu.

“Penting untuk semua orang tahu model penilaian yang digunakan PREPMA sebagai tanda aras pemilihan. Ini penting untuk masa depan sukan dan atlet para kita,” katanya.

Pada 13 Julai, Walter mempersoalkan status anaknya yang tidak terpilih mewakili Malaysia ke Paralimpik Paris 2024 dan menyifatkan atlet berusia 17 tahun itu layak menyertai temasya berkenaan. 

Namun pada 16 Julai PREPMA menerusi kenyataan memaklumkan pemilihan atlet untuk Paralimpik Paris 2024 dibuat mengikut prosedur dan tiga kriteria utama - peluang menang pingat, bilangan acara bakal disertai Malaysia dan pencapaian luar biasa.

PREPMA memaklumkan walaupun tiga atlet berjaya melepasi masa kelayakan minimum (MQS), Malaysia hanya memperoleh dua slot automatik daripada WPS ke temasya empat tahun sekali itu. 

Tiga atlet yang berjaya mencatatkan MQS ialah Muhammad Nur Syaiful dalam empat acara dan Zy dalam dua acara, dengan kedua-dua atlet itu berada dalam kelas S5 (masalah fizikal), manakala Muhammad Imaan bagi satu acara dalam kelas S14 (masalah pembelajaran).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan