SUKAN > BERITA

Paris 2024: Ariana Nur Diana Hampir Kejutkan Bekas Juara Dunia

31/07/2024 10:48 PM

 

PARIS, 31 Julai (Bernama) -- Pemanah recurve negara Ariana Nur Diana Mohamad Zairi hampir mengejutkan juara dunia 2022 Chiara Rebagliati dari Itali dalam pusingan penyingkiran 1/32 individu wanita di Sukan Olimpik Paris 2024, sebelum tewas 5-6 melalui ‘shoot-off’.

Atlet berusia 19 tahun dalam penampilan sulungnya itu bermula dengan baik pada set pertama apabila seri 27-27 pada set pertama sebelum memenangi set kedua 25-24 untuk mendahului 3-1 di Invalides.

Ketika saingan semakin sengit di bawah cuaca panas terik mencecah 30 darjah celsius, pemanah Itali itu mula mendapatkan mata hampir sempurna untuk memenangi dua set seterusnya 28-27, 29-27 untuk mendahului 5-3.

Kedua-dua pemanah memulakan set kelima dengan panahan sempurna 10-10 dan kemudiannya mencatat 9-9, tetapi Ariana Nur Diana kemudiannya berjaya melakukan panahan tepat untuk mendapat 10 manakala Rebagliati hanya peroleh 8 untuk kemenangan 29-27 bagi menyamakan kedudukan 5-5.

Dengan pemenang perlu ditentukan melalui ‘shoot-off’, pemanah Itali itu mara ke pusingan penyingkiran 1/16 selepas melakukan panahan tepat untuk mendapat 10, manakala Ariana Nur Diana melakukan 9.

Mengulas prestasinya hari ini, Ariana Nur Diana berkata dia agak kecewa kerana tidak dapat memberi lebih tekanan kepada pemain Itali itu, tetapi secara keseluruhannya berpuas hati dengan prestasi dalam penampilan sulungnya di Sukan Olimpik.

“Ia lebih kepada cabaran antara saya dan pemikiran saya, dan saya telah melakukan yang lebih baik sebelum ini, walau bagaimanapun panahan saya tidak terlalu buruk kerana jurang mata agak dekat.

“Banyak pengalaman dan pengajaran yang saya dapat ambil di sini untuk memperbaiki diri saya, mana tahu ada rezeki untuk Olimpik seterusnya,” katanya. 

Wakil terakhir negara dalam pertandingan itu, Nurul Azreena Mohamad Fazil dijadualkan menentang Elif Berra Gokkir dari Turki dalam satu lagi perlawanan pusingan penyingkiran 1/32, kemudian.

Semalam, harapan Syaqiera Mashayikh untuk mara ke pusingan 8 terakhir terhalang apabila tewas 5-6 kepada Ana Luiza Sliachticas Caetano dari Brazil selepas penentuan menerusi ‘shoot-off’ sejurus selepas memulakan kempennya dengan menewaskan Alexandra Mirca dari Moldova 6-0 pada pusingan penyingkiran 1/32.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan