SUKAN > BERITA

PDRM Calar Rekod JDT, KL City Naik Ke Posisi Ketiga

01/08/2024 12:51 AM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pasukan ketiga tercorot PDRM FC mencalarkan rekod baik juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila berjaya mengikat skuad Harimau Selatan itu 1-1 pada perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, malam ini.

Pasukan tuan rumah yang dibimbing P. Maniam tenang mengatur gerakan sebelum mencipta kejutan menerusi gol pembukaan hasil penyudah bekas penyerang skuad kebangsaan Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-22.

Namun, JDT hanya memerlukan 10 minit untuk kembali menjadi kedudukan seimbang selepas pemain tengah import Oscar Arribas mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-32.

Pemain tengah dari Sepanyol, Juan Muniz terlepas peluang untuk meletakkan JDT di depan selepas sepakan percumanya pada minit ke-62 sekadar menggegar palang gol sebelum kedua-dua pasukan terus buntu menemui jaringan kemenangan sehingga ke wisel penamat.

Keputusan seri pertama selepas enam kemenangan berturut-turut oleh JDT bagaimanapun tidak menggugat pasukan itu kekal menerajui saingan liga dengan mengumpul 19 mata, enam mata di depan pencabar terdekat Selangor FC.

Pada masa sama, di TEMERLOH, hasrat Selangor FC mengutip kemenangan kedua berturut-turut tidak kesampaian selepas seri 1-1 menentang Sri Pahang FC yang beraksi dengan 10 pemain di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Skuad Gergasi Merah yang menundukkan Penang FC 4-1, Sabtu lepas bermula garang apabila mendahului seawal minit ketiga menerusi rembatan kencang Alvin Fortes yang menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin di gawang.

Bagaimanapun, anak buah Nidzam Jamil buntu dalam usaha menambah jaringan sebelum pemain pertahanan import dan kapten Stefano Brundo menyelamatkan skuad Tok Gajah daripada tumbang di laman sendiri apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-43.

Sri Pahang kemudian terpaksa mengharungi baki 30 minit permainan dengan 10 pemain selepas Mykola Ahapov dilayangkan kad merah oleh pengadil Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah kerana mengasari pemain lawan pada minit ke-63.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur (KL) City FC naik tiga anak tangga ke posisi ketiga selepas menumbangkan Sabah FC 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Gol KL City hadir menerusi jaringan sendiri Ko Kwang-min pada masa tambahan separuh masa pertama sebelum Paulo Josue menggandakan kedudukan pada minit ke-62 diikuti gol ketiga oleh Zhafri Yahya pada minit ke-88.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan