SUKAN > BERITA

Puas Hati Dengan Aksi Pemain Walaupun Hanya Seri - Fandi

01/08/2024 12:59 PM

TEMERLOH, 1 Ogos (Bernama) -- Nasib kurang baik menghantui skuad Sri Pahang FC apabila beberapa serangan berbahaya yang dilancarkan mereka gagal diterjemahkan kepada jaringan gol sehingga terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 ketika berhadapan Selangor FC malam tadi.

Biarpun begitu, Ketua Jurulatih Sri Pahang FC Fandi Ahmad berkata para pemainnya sudah memberikan komitmen 100 peratus di atas padang dan aksi mereka menunjukkan peningkatan ketara berbanding beberapa perlawanan terdahulu. 

"Pada awal permainan, kita agak lalai sehingga memberikan jaringan kepada Selangor tetapi  kita ada banyak peluang yang baik seperti percubaan dilakukan Ibrahim Manusi dan Mykola Ahapov, cuma malangnya tidak gol.

"Selangor pula banyak menyerang tetapi peluang mencipta jaringan itu kurang kerana kita bermain agak kompak sehingga mereka tidak dapat menembusi benteng pertahanan Sri Pahang," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi.

Fandi berkata anak buahnya turut diuji apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua susulan Mykola Ahapov dilayangkan kad merah pada minit ke-62 sehingga perlu lebih banyak bertahan dan melakukan serangan balas.

"Susah bagi kita bermain dengan 10 orang kerana mereka sangat cepat di bahagian sayap dan tengah, tetapi kita akhirnya berjaya menenangkan keadaan dan kembali menguasai perlawanan," katanya.

Sementara itu, pengendali Selangor FC Mohd Nidzam Jamil mengakui pasukannya masih tidak gembira walaupun berjaya membawa pulang satu mata dengan keputusan seri itu.

“Apabila beraksi di luar, pasukan lawan akan cuba mengikut prestasi kita dan mereka ada azam yang tinggi untuk bersaing dengan sebuah pasukan besar seperti Selangor,” katanya.

Mohd Nidzam berkata beliau perlu segera mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi halangan itu bagi memastikan kemaraan skuad bimbingannya ketika beraksi di pentas lawan pada masa akan datang.   

Beliau dalam pada itu mengakui Sri Pahang merupakan pasukan yang baik dan mereka berupaya menyekat Selangor walaupun kekurangan seorang pemain. 

"Ramai berpendapat bermain dengan 10 orang itu senang, tetapi hakikatnya pihak lawan akan memberi lebih tumpuan kepada perlawanan, apa pun kita seharusnya mengambil kesempatan atas kekurangan itu," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan