SUKAN > BERITA

Paris 2024: Aaron-Wooi Yik Tamat Badi Kekalahan Satwiksairaj-Chirag Ke Separuh Akhir

01/08/2024 11:15 PM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 1 Ogos (Bernama) --Beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakhiri badi tiga kekalahan berturut-turut dengan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty apabila menyingkirkan beregu utama India itu untuk melangkah ke separuh akhir pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 di sini hari ini.

Pada saingan suku akhir di di Porte de la Chapelle Arena, gandingan ranking ketiga dunia itu bangkit daripada ketinggalan sebelum melakarkan kejayaan 13-21, 21-14, 21-16 pada pertarungan sengit dalam tempoh 59 minit.

Pada set pertama, Aaron-Wooi Yik, bekas juara dunia 2022,  bertarung seimbang sehingga kedudukan 10-10 sebelum hilang rentak untuk membalas corak serangan agresif yang dilakukan oleh juara Sukan Asia Hangzhou 2022 itu.

Bagaimanapun, pada set kedua, sokongan padu dengan paluan kompang oleh peminat Malaysia di stadium kelihatan membangkitkan semangat Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Tokyo 2020 untuk memulihankan semula rentak permainan.

Beregu negara kemudian menyamakan kedudukan 9-9 sebelum mengatasi dengan 21-14 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Meskipun diberi tentangan sengit, gandingan negara berjaya mengekang kemaraan lawan yang kelihatan hilang rentak serta melakukan kesilapan mudah sebelum Aaron-Wooi Yik memuktamadkan set penentuan dengan 21-16.

Pertemuan di sini merupakan kali ke-12 antara kedua-dua pasangan berkenaan dengan rekod memihak kepada Arron-Wooi Yik 9-3 selepas tiga pertemuan terakhir di Terbuka Indonesia 2023, Sukan Asia Hangzhou dan Terbuka India pada Januari lalu memihak kepada  Satwiksairaj-Chirag.

Pada separuh akhir esok, Aaron-Wooi Yik akan berdepan beregu utama dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang menewaskan beregu Indnesia Fajar Alfian- Muhammad Rian Ardianto 24-22, 22-20 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Kelmarin, pada aksi Kumpulan A, Aaron-Wooi Yik tewas kepada Wei Keng-Chang 22-24, 14-21.

Bercakap kepada Bernama selepas kemenangan itu, Wooi Yik berkata mereka berjaya membawa pulang kemenangan dengan persiapan yang rapi sebelum perlawanan untuk mengatasi cabaran sengit oleh Satwiksairaj-Chirag.

“Kami bersedia untuk menangani banyak kelebihan mereka, pukulan deras, bertahan dan serangan balas serta ketinggian.Kami memang kalah banyak mata dalam aspek tersebut tetapi tidak pernah berputus asa dan berusaha keras untuk memberi tekanan kepada mereka,” katanya

Beliau berkata lawannya itu mengawal perlawanan pada awal dengan banyak kelebihanan tetapi berusaha memberi tekanan sehingga menyebabkan mereka gugup dan melakukan kesilapan.

Mengulas perlawanan separuh akhir, Aaron berkata mereka berharap untuk untuk menampilkan aksi yang lebih baik selepas kalah kepada lawan mereka itu pada peringkat kumpulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan