SUKAN > BERITA

Speedy Tigress Ikat Wales 2-2 Dalam Aksi Persahabatan

02/08/2024 11:18 AM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Skuad hoki wanita kebangsaan memulakan siri jelajah di Wales dengan mencatat keputusan seri 2-2 menentang pasukan dari negara tersebut di Cardiff, pada Khamis.

Bertempat di Pusat Sukan Nasional Wales, skuad negara mengejutkan lawan menerusi jaringan oleh tonggak pertahanan Anith Humairah Baharudin yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-40.

Skuad negara kemudian menggandakan jaringan, hasil gol padang oleh Nur Afiqah Syahzani Azhar, selang empat minit kemudian.

Bagaimanapun, Wales merapatkan jurang menerusi gol padang pada minit ke-49 disusuli jaringan penalti strok bagi mengikat kedudukan tiga minit sebelum masa perlawanan tamat.

Ketua Jurulatih skuad hoki wanita negara Nasihin Nubli Ibrahim berkata beliau berpuas hati dengan prestasi dipamerkan majoriti anak buahnya, walaupun ini perlawanan antarabangsa pertama mereka sejak  awal tahun ini.

"Perlawanan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Namun, penyerang Malaysia harus lebih tangkas lagi ketika berada di hadapan pintu gol lawan.

"Bahagian pertahanan yang diketuai oleh Juliani Mohamad Din bermain agak baik sehingga penghujung perlawanan, namun melakukan sedikit kesilapan yang dihukum lawan dengan jaringan gol,” katanya dalam satu kenyataan oleh Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.

Perlawanan persahabatan seterusnya menentang Wales akan berlangsung hari ini, diikuti pada 4, 7, 9 dan 10 Ogos ini.

Siri jelajah di Wales merupakan persiapan Speedy Tigress menjelang Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2024 dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan