SUKAN > BERITA

TFC Perlu Buru Gol Awal Pastikan Misi Akhir Piala FA Tercapai

02/08/2024 12:22 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner mahu anak buahnya berusaha memburu gol awal dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA  menentang Selangor FC, malam esok.

Steinbruckner berkata bekalan satu gol yang dibawa ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bukanlah kelebihan besar dan jaminan untuk skuad Penyu ke pentas akhir piala berprestij itu.

Justeru, pengendali kelahiran Croatia itu mahu anak buahnya bermain mengikut perancangan dan tidak mengamalkan corak bertahan bagi mendapatkan lebih banyak jaringan.

"Kelebihan satu gol tidak terlalu besar... tetapi tidak juga terlalu kecil. Kami akan bermain seperti biasa dan akan cuba menjaringkan gol apabila mendapat peluang. Gol awal adalah baik jika kita mahu ke final," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Steinbruckner berkata skuad Penyu ketika ini masih berdepan isu kecederaan dan kecergasan pemain setelah melalui aksi jadual perlawanan liga yang padat.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu pemain menjadikan isu itu sebagai alasan untuk tidak mempamer aksi terbaik pada perlawanan penting ini.

Beliau berkata selain persiapan fizikal, pemain juga perlu memperkuat mental masing-masing bagi memastikan misi melangkah ke pentas akhir tercapai selepas tersekat di peringkat sama musim lalu.

"Alif (Alif Zakaria) terkeluar kerana cedera pergelangan kaki. Ismaheel (Ismaheel Akinade) mungkin akan okey dan akan kembali esok. Kita akan lihat siapa akan ganti Alif...ada beberapa jalan penyelesaian dalam fikiran saya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan