SUKAN > BERITA

Speedy Tigress Tumpas 1-2 Kepada Wales

03/08/2024 12:31 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Skuad hoki wanita negara mempamerkan peningkatan dari segi corak permainan meskipun tewas 1-2 kepada Wales dalam perlawanan kedua siri jelajah Wales, di Cardiff, awal pagi tadi.

Ketua jurulatih pasukan Speedy Tigress Nasihin Nubli Ibrahim berkata strategi pasukan negara lebih teratur dengan menampilkan tempo permainan lebih tinggi berbanding ketika mengikat Wales 2-2 pada perlawanan pertama Khamis lepas.

“Perlawanan dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan melakukan asakan. Ada beberapa peningkatan terutamanya dalam membina pertahanan, dengan persefahaman antara pemain pertahanan, tengah dan penyerang lebih teratur selain menggunakan segala ruang dengan baik.

“Mereka berusaha hingga ke minit terakhir apabila kita mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun diselamatkan oleh penjaga gol,” katanya menerusi kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini.

Nasihin Nubli juga percaya pengalaman diraih pemain menentang pasukan kebangsaan Wales yang rata-ratanya beraksi dalam liga premier England dilihat amat berguna dan membantu Speedy Tigress memenangi aksi persahabatan menentang lawan sama Ahad ini.

Terdahulu, pada aksi berlangsung di Pusat Sukan Nasional Wales itu menyaksikan Speedy Tigress bermula cemerlang apabila meraih jaringan awal pada minit keempat menerusi gol padang Zati Alyani Muhammad Zubir.

Bagaimanapun, Wales berjaya bangkit menerusi dua gol padang pada minit ke-14 dan ke- 49, sekali gus menewaskan Malaysia dengan keputusan 2-1.

Perlawanan persahabatan seterusnya menentang Wales akan berlangsung pada Ahad, 7, 9 dan 10 Ogos ini.

Siri jelajah di Wales merupakan persiapan Speedy Tigress menjelang Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2024 yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan