SUKAN > BERITA

Paris 2024: Pearly-Thinaah Harap Perjalanan Bersejarah Mereka Cetus Inspirasi

04/08/2024 12:01 AM

Oleh Vikneswaran Raman

PARIS, 3 Ogos (Bernama) -- Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah berharap pencapaian mereka mara sehingga separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 dapat mencetuskan inspirasi kepada ‘adik-adik’ lain untuk mencapai kejayaan lebih tinggi. 

 Perjalanan bersejarah mereka di Paris 2024 berakhir tanpa pingat selepas tewas 11-21, 11-21 kepada pasangan nombor empat dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, dalam penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, hari ini. 

Namun, Pearly-Thinaah, yang sebelum ini diundi dalam kumpulan maut, bangkit daripada kekalahan kepada beregu nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada aksi pertama Kumpulan A untuk mencipta kejayaan menakjubkan ke atas beregu Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.

Semalam, mereka sekali lagi tumpas kepada Qing Chen-Yi Fan selepas muncul beregu wanita pertama negara melangkah ke pusingan empat terbaik, mengatasi pencapaian Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang mara ke suku akhir Olimpik Rio 2016.

Bercakap kepada Bernama selepas aksi penentuan gangsa, Thinaah sambil menahan air mata berkata pada awalnya ramai tidak percaya mereka mampu sampai ke tahap ini selepas prestasi tidak konsisten sejak awal tahun.

“Saya rasa ini masih pencapaian yang bagus dan kita kena berbangga dan harapnya ini memberi inspirasi kepada pemain junior bahawa segalanya mungkin. Untuk kami capai ke tahap ini, saya rasa kami juga perlu memuji diri sendiri, kami tak boleh ambil perkara negatif sahaja, kami ambil yang positif dan teruskan perjuangan.

“Kami berdua mahu memenangi pingat itu. Tetapi, pada ketika ini, ia adalah tentang mental dan menyerap tekanan, mereka betul-betul menggasak kami dan bermain dengan agresif. Ambil masa untuk terima semua ini, jadi kami mahu menggunakan masa ini untuk bersama keluarga dan rakan-rakan yang ada di sini,” katanya.

Sementara itu, Pearly yang turut menangis kesedihan, berkata mereka tidak mampu menandingi kehebatan Matsuyama-Shida pada aksi hari ini.

“Mereka sangat agresif, pantas dan kawal seluruh permainan hari ini, kita ada cuba banyak strategi untuk atasi (mereka) tapi memang sangat susah untuk walau ambil satu mata daripada mereka. Selepas itu kita dah terburu-buru (rush) dan hilang kesabaran, kerana tak tahu macam mana nak ambil mata dan mula buat kesilapan.

“Kita sangat sedih tapi kena terima kekalahan ini kerana masih ada banyak jurang dengan mereka hari ini. Kita kena balik dan berlatih lebih keras,” katanya. 

Menurut Pearly, selepas menjalani persiapan selama berbulan-bulan dan mengorbankan masa bersama keluarga, beliau mahu menenangkan diri dengan meluangkan masa bersama mereka yang turut hadir di sini.

Dalam pada itu, Qing Chen-Yi Fan, pemenang perak di edisi lepas, menundukkan rakan senegara Liu Sheng Shu-Tang Ning 22-20, 21-15 pada final untuk bergelar juara Olimpik

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan