SUKAN > BERITA

India Hantar 40 Penyaman Udara Untuk Atletnya Di Sukan Olimpik Paris

04/08/2024 01:11 AM

NEW DELHI, 3 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Kerajaan India telah menghantar 40 unit penyaman udara untuk keselesaan atlet negara itu di Perkampungan Sukan Olimpik di Paris, kata seorang pegawai kerajaan pada Sabtu.

"Penyaman udara ini adalah unit pasang dan pakai dan atlet sudah mula menggunakannya. Diharapkan dengan ini mereka akan mempunyai penginapan yang lebih selesa dan mendapat rehat yang lebih baik, yang sangat diperlukan untuk prestasi yang hebat.

Kesemua kos penyaman udara ini ditanggung oleh Kementerian Sukan," lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pegawai berkenaan.

Atlet India yang mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Paris 2024 telah mengadu mengenai ketidakselesaan di Perkampungan Sukan Olimpik, terutamanya kekurangan penyaman udara yang menyebabkan mereka tidak dapat tidur dengan nyenyak, menurut laporan itu.

Menurut pegawai itu, mengambil kira isu yang dihadapi atlet di Perkampungan Sukan Olimpik akibat peningkatan suhu dan kelembapan secara mendadak di Paris, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan antara Kementerian Sukan, Pihak Berkuasa Sukan India (SAI), Persatuan Olimpik India (IOA), dan Kedutaan India di Perancis pada Jumaat.

Keputusan telah diambil bahawa Kedutaan India di Perancis akan membeli 40 penyaman udara di Paris dan menyediakannya di bilik-bilik penginapan atlet India di Perkampungan Sukan itu, katanya.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan