SUKAN > BERITA

Harapan Kontinjen Malaysia Untuk Kilauan Pingat Pertama Tertangguh

04/08/2024 06:41 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 3 Ogos (Bernama) -- Kontinjen Malaysia perlu menunggu sekurang-kurangnya satu hari lagi untuk melihat kilauan pingat pertama di Sukan Olimpik Paris 2024. 

Pada hari kelapan temasya, hasrat Pearly Tan-M. Thinaah untuk membutirkan pingat tidak kesampaian selepas mencatat sejarah sebagai beregu wanita pertama negara mara ke separuh akhir Olimpik.

Gandingan di ranking dunia ke-12 itu, tunduk 11-21, 11-21 kepada pasangan nombor empat dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena.

Namun, Malaysia berpeluang meraih pingat seawal esok (Ahad), apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik turun beraksi dalam penentuan gangsa beregu lelaki menentang gandingan nombor dua dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik yang merupakan penyandang pingat gangsa, telah mencatatkan kemenangan dalam tujuh perlawanan dan tewas empat kali. 

Selain itu, pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia turut akan beraksi dalam acara separuh akhir berdepan juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand, yang mencipta sensasi menyingkirkan pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-10.

Zii Jia yang mara dengan menewaskan pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen 21-17, 21-15 pada Jumaat, boleh menjamin sekurang-kurangnya pingat perak jika mampu mencatatkan kemenangan pada aksi empat terbaik itu.

Sementara itu, debut Olimpik jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi berakhir pada pusingan pertama selepas beliau menamatkan saingan di kedudukan terakhir (kesembilan) dengan catatan 10.45 saat (s) pada saringan kedua di Stade de France, iaitu jauh tersasar daripada rekod kebangsaan miliknya, 10.09s. 

Hanya tiga pelari teratas dalam lapan saringan dan bersama tiga atlet lagi yang mencatatkan masa terbaik melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.

Pelari berusia 20 tahun itu yang menamatkan saringan 1 pusingan awal di tempat kedua dengan catatan 10.42s, mengakui sedikit tergelincir pada permulaan dan berjanji untuk tampil lebih mantap pada edisi akan datang di Los Angeles 2028.

Sementara itu, pemain golf profesional Gavin Kyle Green berjaya melonjak lapan tangga untuk berkongsi tempat ke-38 bersama lima lagi pemain dengan pukulan keseluruhan satu bawah par 212 usai pusingan ketiga acara individu lelaki di Le Golf National.

Menjelang pusingan akhir esok, beliau telah melakukan dua bawah par 69 hari ini selepas mencatatkan 74 dan 69 pada dua pusingan awal.

Di Marseille Marina, atlet pelayaran Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif masing-masing menduduki ke-28 (114 mata penalti) dan ke-32 (123 mata penalti) dalam acara single-handed dinghy lelaki ILCA 7 dan wanita ILCA 6.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan