SUKAN > BERITA

Walaupun Tak Beraksi, Mickey Peroleh Semangat Baharu

04/08/2024 10:14 AM

PETALING JAYA, 4 Ogos (Bernama) -- Pemain sayap Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim yang masih dalam proses pemulihan tidak menyangka akan mengisi bangku simpanan pada aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024/ 2025 menentang Terengganu FC di sini, malam tadi.

Pada pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, skuad Gergasi Merah menang 4-1 untuk melangkah ke final dengan bergaya selepas merakam keputusan agregat 6-4.

Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim berkata beliau dimaklumkan akan berada dalam senarai pasukan sehari sebelum perlawanan dan walaupun tidak diturunkan, beliau gembira dapat menjadi sebahagian daripada kejayaan manis di depan penyokong sendiri itu.

“Tahniah semua, kemenangan ini untuk anda semua, apa yang boleh saya katakan saya membawa semangat apa yang saya mampu, walaupun saya tak mampu bermain secara cergas lagi tetapi saya dapat beri satu semangat untuk rakan-rakan saya.

“Hampir tiga bulan, lagi beberapa hari masuk tiga bulan saya direhatkan dan kecederaan ini menimpa saya, saya memang amat sedih dan kembalinya saya pada malam ini (malam tadi) di Stadium MBPJ, salah satu semangat baharu untuk diri saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di sini.

Ketua Jurulatih Selangor Mohd Nidzam Jamil berkata Faisal Halim disenaraikan kerana dua faktor iaitu kerana Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi tidak dapat diturunkan dan dirasakan layak selepas menjalani latihan penuh bersama pasukan sejak dua minggu lepas.

“Saya tak cukup gila letak pemain yang tak boleh bermain dalam senarai, dia (Faisal Halim) dah berlatih dengan kita, doktor benarkan, ahli fisioterapi benarkan, sudah tentu ada risiko, pemain sihat pun ada risiko...saya ambil risiko untuk letak dia, saya rasa berbaloi,” katanya.

Terdahulu, Faisal Halim yang lebih mesra disapa Mickey menceriakan peminat Selangor apabila membuat kemunculan dalam sesi pemanas badan menjelang sepak mula perlawanan di sini.

Beliau yang menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di sini, awal Mei lepas, dilihat memakai topeng muka berwarna hitam dipercayai bagi melindungi bekas luka simbahan asid yang dalam proses untuk sembuh.

Susulan insiden itu, pemenang anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas itu  mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan