SUKAN > BERITA

Nicol Puji Semangat Juang Pearly-Thinaah Sekalipun Gagal Menang Pingat

04/08/2024 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Legenda skuasy negara Datuk Nicol Ann David menyatakan ucapan penghargaan beliau kepada pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah, selepas prestasi cemerlang mereka di Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Dalam catatan Facebook, Nicol, yang juga Timbalan Chef de Mission pasukan Olimpik Malaysia, memahami kesedihan dirasakan pasangan itu atas kekalahan mereka, namun pada masa sama memuji usaha dan semangat mereka pada penampilan sulung pada temasya terbesar dunia itu.

“Saya tahu ini saat yang menyakitkan, dan kesedihan itu akan dirasai untuk satu tempoh. Apa saya katakan atau buat tak dapat tukarkannya, kerana ia satu proses yang kedua-dua anda perlu lalui.

“Tapi apa yang boleh saya katakan ialah selepas ia berlalu, anda akan dapat melihatnya dalam pandangan yang berbeza dan bangga dengan apa yang telah kamu capai,” katanya.

Menerusi hantaran yang sama, Nicol turut mendedahkan kesukaran yang dihadapi pasangan itu, dengan kedua-dua mereka bergelut dengan kecederaan dan juga masalah kesihatan.

“Beberapa minggu yang lalu, anda hadapi kecederaan, sakit, dan kekecewaan, tetapi apa yang saya kagum mengenai anda berdua ialah, anda saling sokong-menyokong dan percaya antara satu sama lain.

“Pertarungan separuh akhir sememangnya getir, dan anda berdua sudah bermati-matian berjuang untuk ke final. Saya tahu perasaan itu berjuang hingga ke akhirnya, tetapi anda terus tabah dan berjuang pada perlawanan itu,” katanya.

Nicol berkata Pearly dan Thinaah harus berbangga dengan diri mereka, kerana menjadi pasangan wanita Malaysia pertama mara ke separuh akhir Sukan Olimpik, walaupun tidak berada dalam ranking lapan terbaik.

“Anda membuat pasangan nombor satu dunia itu gementar dan anda menduduki tempat keempat. Perjalanan ini benar-benar indah, menakjubkan dan anda berdua telah melalui begitu banyak cabaran dalam tempoh dua tahun lepas, dan anda memang atlet olimpik, dan anda membawa impian seluruh negara,” katanya.

Nicol juga memuji kedua-dua atlet yang mempamerkan semangat dan nilai kesukanan sebenar, menyanjung lawan mereka dengan kasih sayang dan kebaikan selepas perlawanan, detik yang akan selama-lamanya mentakrifkan mereka sebagai legenda.

Semalam, harapan Pearly dan Thinaah untuk menghadiahkan Malaysia pingat pertama pada Olimpik Paris berkecai, selepas mereka tewas dalam penentuan pingat gangsa ketika bertemu beregu nombor empat terbaik dunia pasangan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun, dengan keputusan 11-21,11-21.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan