SUKAN > BERITA

Kontinjen Malaysia Buka Akaun Pingat Di Paris 2024

05/08/2024 02:47 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 4 Ogos (Bernama) -- Setelah lebih seminggu menanti, kontinjen Malaysia akhirnya membuka akaun pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, hari ini.

Hari kesembilan temasya menyaksikan Aaron-Wooi Yik mempamerkan kebangkitan penuh dramatik pada aksi penentuan pingat gangsa untuk menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark. 

Juara dunia 2022 yang ketinggalan 16-20 pada set kedua, menunjukkan kebangkitan luar biasa apabila berjaya mengejar empat mata untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum mencatat kemenangan 16-21, 22-20, 21-19 di Porte de La Chapelle Arena, sekali gus mempertahankan gangsa dimenangi mereka di Tokyo 2020. 

Malaysia mempunyai peluang menambahkan kilauan pingat esok (5 Ogos), apabila Lee Zii Jia turun beraksi dalam penentuan gangsa perseorangan lelaki menentang Lakshya Sen dari India.

Terdahulu, Zii Jia yang hadir dengan harapan untuk merangkul emas terpaksa melupakannya selepas kekalahan 14-21, 15-21 kepada juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.

Namun, Zii Jia perlu berada pada tahap terbaik apabila berdepan cabaran Lakshya, yang mendahului juara bertahan Viktor Axelsen sebanyak dua kali sebelum tewas 20-22, 14-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Di Le Golf National, pemain negara Gavin Kyle Green menamatkan saingan di kedudukan ke-33 dengan pukulan keseluruhan tiga bawah par 281 bersama Fabrizio Zanotti dari Paraguay selepas empat pusingan.

Pada pusingan terakhir hari ini, beliau melakukan dua bawah par 69 untuk melonjak lima kedudukan berbanding semalam.

Sementara itu, penampilan sulung atlet berbasikal lebuh raya wanita negara Nur Aisyah Mohamad Zubir di Olimpik, berakhir dengan kesedihan apabila beliau tidak menamatkan perlumbaan bersama 13 pelumba lain.

Nur Aisyah, yang menjadi pelumba wanita pertama Malaysia untuk beraksi dalam acara lebuh raya di Olimpik dilaporkan mengalami kekejangan di kedua-dua kakinya.

Di Marseille Marina, atlet pelayaran Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif masing-masing menduduki tempat ke-32 (168 mata penalti) dan ke-34 (182 mata penalti) dalam acara single-handed dinghy lelaki ILCA 7 dan wanita ILCA 6 selepas lapan perlumbaan setakat hari ini.

Kedua-dua pelayar tersebut akan meneruskan cabaran mereka dalam perlumbaan kesembilan dan kesepuluh esok, dengan hanya 10 teratas akan mara ke pusingan pingat pada Selasa. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan