SUKAN > BERITA

Paris 2024: Lyles Tamat Penantian 20 Tahun Amerika Raih Emas Acara Reben Biru

05/08/2024 07:33 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 4 Ogos (Bernama) -- Pelari pecut Noah Lyles menamatkan penantian 20 tahun Amerika Syarikat untuk meraih pingat emas acara 100 meter (m) lelaki selepas mengungguli acara itu dengan melakar catatan peribadi terbaik 9.79 saat (s) di Stade de France, malam ini.

Atlet berusia 27 tahun itu mengatasi pelari Jamaica, Kishane Thomson dengan kelebihan 0.005s berdasarkan foto penamat manakala seorang lagi wakil Amerika Syarikat, Fred Kerley meraih gangsa dengan 9.81s.

Juara edisi Tokyo 2020 Marcell Jacobs dari Itali sekadar kelima dengan 9.85s.

“Umpama roller-coaster, ada naik dan turun. Saya masih ingat ketika di Tokyo, saya telah melakukan kesilapan. Dari hari itu, saya tekad untuk tidak melakukannya lagi. Saya akan tangani dengan sebaik mungkin dan berlatih bertahun-tahun.

“Ia terkumpul sehingga saat ini. Hanya perlukan satu sahaja. Asalkan itu yang terakhir, itu yang penting,”  katanya yang meraih pingat gangsa acara 200m di Tokyo.

Lyles berpeluang membawa pulang dua lagi pingat emas apabila turun beraksi dalam acara 200m dan 4x100m.

Kali terakhir pelari Amerika Syarikat membawa pulang pingat emas acara reben biru adalah menerusi Justin Gatlin pada edisi Athens 2004.

Sejak itu pelari Amerika Syarikat sukar meraih emas walaupun kekal dalam saingan penamat podium selepas pelari legenda Usain Bolt dari Jamaica mendominasi acara 100m dalam tiga edisi iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Rekod dunia dan Olimpik masih kekal milik Bolt dengan masing-masing 9.58s (Ogos 2009 di Berlin) dan 9.63 (Ogos 2012 di London).

Semalam, jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang membuat penampilan sulungnya di pentas Olimpik menamatkan saingan di tempat kesembilan pada pusingan pertama 100m dengan catatan 10.45s dalam saringan kedua, jauh daripada rekod kebangsaan miliknya 10.09s.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan