SUKAN > BERITA

Aaron-Wooi Yik Pamer Semangat Luar Biasa - Kien Keat

05/08/2024 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Semangat luar biasa dan aksi mengagumkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya mengekalkan pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 mendapat pujian dua bekas atlet hebat negara.

Bekas pemain beregu lelaki negara Koo Kien Keat berkata bukan mudah bagi pemain untuk mengekalkan semangat tinggi setelah tewas di peringkat separuh akhir sehari sebelumnya.

“Saya sangat menghormati mereka, bukan mudah untuk mengekalkan semangat dalam perlawanan penentuan pingat gangsa. Mereka menanam mentaliti seperti bermain untuk pingat emas,” katanya kepada Bernama hari ini.

Aaron-Wooi Yik yang ketinggalan 16-20 pada set kedua menentang Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark, berjaya mengejar empat mata untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum memenangi aksi penentuan gangsa 16-21, 22-20, 21-19 di Porte de La Chapelle Arena.

Pada edisi Tokyo 2020, Aaron-Wooi Yik berjaya menewaskan bekas juara dunia dari Indonesia Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan untuk membawa pulang pingat gangsa.

Kien Keat berharap kejayaan Aaron-Wooi Yik itu akan memberikan motivasi kepada pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia dalam perlawanan pingat gangsa menentang Lakshya Sen dari India, malam ini.

“Kuatkan semangat, bermain seperti untuk pingat emas,” katanya yang juga juara beregu All England 2007 bersama pasangannya Tan Boon Heong.

Dalam pada itu, legenda skuasy negara Datuk Nicol Ann David dalam catatan di Facebook berkata Aaron-Wooi Yik memberikan persembahan kental dan luar biasa untuk mencipta sejarah sukan Malaysia.

“Kebangkitan yang hebat! Ini sejarah kebangkitan atlet Malaysia yang belum pernah dilakukan sebelum ini di Olimpik.

“Kegigihan dan pengalaman yang ditunjukkan untuk bangkit daripada ketinggalan 20-16 pada set kedua, mereka mempunyai semangat kental dengan bertarung sehingga ke penghujungnya,” kata Nicol yang juga Timbalan Chef de Mission pasukan Olimpik Malaysia.

Beliau berkata keyakinan dan pengalaman yang ada pada pasangan itu terbukti menjadi faktor penting dalam perlawanan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan