SUKAN > BERITA

Pestabola Merdeka 2024: FAM Kekal Guna Khidmat Pengadil Luar

06/08/2024 06:54 PM

PETALING JAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengekalkan pendekatan menggunakan khidmat pengadil dari luar negara bagi mengadili perlawanan Pestabola Merdeka 2024 yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Tempatan Pestabola Merdeka 2024 Mohd Firdaus Mohamed berkata langkah itu bagi menunjukkan ketelusan penganjur dalam usaha mengangkat martabat pertandingan berprestij di Asia berkenaan yang memasuki edisi ke-43, tahun ini.

Beliau yang juga Naib Presiden FAM berkata pengadil yang bakal dilantik itu adalah dalam kalangan pengadil bertaraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). 

“Kita tak mahu dilihat sebagai menganjurkan pertandingan lebih kepada syok sendiri jadi kita panggil pengadil dari luar untuk tunjuk ketelusan kita apabila kita menganjurkan pertandingan, sebab pertandingan ini di bawah Kalendar FIFA, jadi kita tak boleh ambil mudah dalam hal ini.

“Kita dah kenal pasti beberapa pengadil di peringkat Asia tapi tak boleh maklumkan lagi sebab dalam proses perbincangan...diyakini pengadil bertaraf FIFA yang ada pengalaman mengendalikan perlawanan di peringkat FIFA,” katanya pada sidang media majlis undian Pestabola Merdeka 2024 di Wisma FAM hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada Pestabola Merdeka 2024 masih dalam peringkat perbincangan, selain memaklumkan tahap permukaan padang Stadium Nasional terkini ‘lulus’ untuk digunakan pada pertandingan itu.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata FAM sedang memikirkan cara untuk terus memperkasakan lagi pertandingan itu sehingga mampu menghimpunkan pesaing dalam kalangan negara-negara kelompok 100 terbaik dunia.

“Sebab saya nak lihat prestij Pestabola Merdeka, biarlah kita lawan dengan pasukan kuat pun, pada saya menang kalah soal kedua, tetapi macam mana kita nak jadikan Pestabola Merdeka satu pertandingan yang lebih berprestij,” katanya.

Terdahulu, majlis undian Pestabola Merdeka 2024 menyaksikan Malaysia diundi bertemu Filipina pada perlawanan separuh akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional pada 9 malam, 4 Sept ini.

Satu lagi aksi separuh akhir menemukan juara bertahan Tajikistan dan Lubnan juga pada 4 Sept di venue sama.

Aksi menentang Filipina merupakan tugasan pertama jurulatih dari Sepanyol Pau Marti Vicente selepas dilantik sebagai ketua jurulatih interim Harimau Malaya susulan peletakan jawatan mengejut bekas pengendali Kim Pan Gon, bulan lepas.

Pada Pestabola Merdeka 2023, Malaysia yang menewaskan India di separuh akhir, muncul naib juara selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan di final.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan