SUKAN > BERITA

Olimpik: Bincang kepentingan semua pihak untuk elak isu Zii Jia, Jin Wei berulang kata Adam Adli

06/08/2024 07:04 PM

SIBU, 6 Ogos (Bernama) -- Setiap perkara berhubung penglibatan atlet ke temasya sukan yang besar perlu dibincangkan lebih awal, melibatkan semua pihak berkepentingan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata ini bagi memastikan isu yang menimpa pemain badminton perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan perseorangan wanita Goh Jin Wei di Olimpik Paris, tidak berulang pada masa akan datang.

“Walaupun sudah diperjelaskan isu tersebut, sedikit sebanyak Kementerian Belia dan Sukan menerima tempiasnya. Kita kena letak kepentingan pihak berkepentingan kita, bukan hanya atlet dan persatuan tetapi juga peminat dan penyokong,” katanya selepas menghadiri majlis Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) peringkat Sarawak 2024 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mendakwa pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, dinafikan kehadiran ahli fisioterapi dan pasangan pelatih, manakala jurulatih pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei, Nova Armada tidak dapat bersamanya di Paris.

Pada masa yang sama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria pula dapat membawa keluarganya ke temasya sukan itu, dan ini menimbulkan ketidakpuasan hati peminat sukan tanah air yang lantas menyalahkan Norza di atas apa yang berlaku ke atas Zii Jia dan Jin Wei.

Norza telah menjelaskan yang dia mempunyai kuota khas sebagai Presiden MOM, untuk membawa tetamu ke temasya tersebut tanpa menganggu bahagian yang dibenarkan untuk atlet dan pegawai seperti dibenarkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Adam Adli berkata bidang sukan bukanlah bidang yang mudah diuruskan, dengan kementerian bukan hanya berdepan dengan pengurusan soal prestasi atlet dalam bidang sukan, malah fokus kepada penyediaan ekosistem fasiliti sukan yang terbaik, supaya pembangunan sukan dapat dilaksanakan.

“Di peringkat Kementerian Belia dan Sukan kita sentiasa terima kritikan dan tekanan daripada rakyat Malaysia dan kita juga perlu terbuka dengan setiap kritikan yang dilontarkan kepada kita, dan ambil tanggungjawab untuk memperbaiki cara kita melakukan semua perkara dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai gesaan ramai supaya Norza meletak jawatan sebagai presiden MOM.

“Kita sudah pun sebenarnya usaha yang terbaik, bagaimanapun kad akreditasi yang dikeluarkan oleh IOC ada hadnya,” katanya sambil menambah apa yang penting sekarang ialah meredakan tekanan yang mungkin boleh mengganggu tumpuan para atlet negara di Paris.

Tumpuan sebaliknya menurut beliau untuk memberikan sokongan padu kepada atlet meneruskan perjuangan mereka untuk negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan