SUKAN > BERITA

Tiga kelab Liga Super ada tunggakan gaji, KWSP, LHDN, Perkeso, EIS - MFL

06/08/2024 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiga kelab Liga Super mempunyai tunggakan gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Skim Insurans Pekerjaan (EIS) bagi bulan Mei dan Jun tahun ini. 

Mengikut MFL, ia berdasarkan pemeriksaan dokumen-dokumen laporan kewangan yang dilakukan oleh Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) sebelum 16 Julai lepas. 

“Dua kelab lagi perlu menghantar dokumen kewangan tambahan. Kesemua kelab terbabit diarahkan oleh FFP FIB untuk menyelesaikan tunggakan dan menyerahkan dokumen kewangan tambahan sebelum tarikh akhir 15 Ogos.

“Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan kelab itu dikenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan akan datang,” kata MFL. 

MFL memaklumkan, berdasarkan pemeriksaan dokumen-dokumen laporan kewangan itu, FFP FIB mendapati lapan kelab berjaya menyerahkan laporan kewangan pertama FFP dengan lengkap tanpa sebarang tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN Perkeso dan EIS Perkeso setakat Jun tahun ini.

Bagaimanapun, terdapat dua kelab tidak menghantar laporan kewangan pertama FFP pada tarikh akhir 16 Julai, namun berjaya menyelesaikannya selepas diberikan lanjutan masa sehingga 31 Julai oleh pihak FIB FFP.

MFL menyatakan bahawa pemeriksaan serahan laporan kewangan kelab Liga Super adalah proses fasa pertama dalam pengenalan peraturan FFP dalam Liga Malaysia bermula musim 2024-2025.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan