SUKAN > BERITA

Paris 2024: Pocket Rocketman perlu berhati-hati dengan mainan taktikal lawan

07/08/2024 12:21 AM

Daripada R. Vikneswaran

PARIS, 6 Ogos (Bernama) -- Pasukan berbasikal trek negara yang diketuai Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang akan mula memburu pingat Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome esok, perlu memberikan perhatian serius terhadap permainan taktikal pasukan lawan.

Lawan seperti pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 13 kali Harrie Lavreysen dan Jeffry Hoogland dari Belanda, Jack Carlin (Great Britain), Matthew Glaetzer (Australia), serta pelumba Jepun Yuta Obara dan Kaiya Ota, masing-masing bukan sahaja memiliki kehebatan fizikal, tetapi juga gerakan dan taktikal, seperti yang telah digunakan pada perlumbaan akhir keirin lelaki di Olimpik Tokyo 2020.

Strategi seperti peletakan kedudukan, penetapan kelajuan dan pecutan mengejut, boleh menafikan pelumba yang terleka daripada menempatkan diri di podium.

Selepas terlepas pingat emas di Tokyo 2020, Mohd Azizulhasni yang dikenali sebagai Pocket Rocketman memikul beban berat pada saat negara masih ternanti-nanti pingat emas sulung Sukan Olimpik.

“Saya sedar akan bebanan ke atas Mohd Azizulhasni, yang diharapkan menghasilkan emas sulung, tetapi sebagai seorang atlet bertaraf dunia, beliau mampu menangani tekanan itu,” Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh.

“Pasukan telah membuat persiapan yang baik, dengan latihan beberapa hari di trek Olimpik sehingga semalam. Saya rasa mood dalam pasukan berbasikal trek Malaysia ceria dan positif, dan mereka semua teruja untuk memulakan perlumbaan,” katanya kepada Bernama.

Pemenang pingat perak keirin Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan beraksi dalam acara pecut bermula esok hingga Jumaat (7-9 Ogos), manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang menyertai Olimpik buat kali pertama akan beraksi dalam acara keirin wanita pada Rabu dan Khamis.

Nurul Izzah Izzati kemudiannya akan sertai acara pecut wanita dari Jumaat hingga Ahad, manakala juara dunia keirin 2017 Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus, akan bersaing dalam acara kegemaran mereka iaitu keirin lelaki, pada Sabtu dan Ahad.

Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berharap pada kali ini, Muhammad Shah Firdaus akan menjadi rakan sepasukan yang kuat kepada Pocket Rocketman, dengan prestasi yang terbaik.

“Nurul Izzah Izzati pula saya rasa dia telah lakukan yang terbaik, sebagai seorang pelumba yang berdisiplin dan saya percaya perjalanannya masih jauh dan seterusnya akan menyertai Sukan Olimpik selepas ini iaitu di Los Angeles 2028, dan seterusnya. Paris akan jadi satu pengalaman dan pendedahan yang baik pada peringkat tertinggi untuknya.

“Saya minta seluruh rakyat Malaysia sama-sama mendoakan kejayaan untuk pelumba kita di Paris ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan