SUKAN > BERITA

Tidak Rehat Lama Lepas Menang Gangsa - Aaron/Wooi Yik

07/08/2024 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Usai kempen Olimpik Paris 2024 yang menyaksikan kejayaan meraih gangsa, beregu lelaki utama negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik hanya akan berehat seketika.  

Beregu nombor tiga dunia itu merancang untuk meluangkan masa beberapa hari bersama keluarga sebelum kembali berlatih bagi menghadapi Terbuka Jepun pada 20-25 Ogos ini diikuti Terbuka Korea (27 Ogos-1 Sept).

“Saya rasa cuti beberapa hari dan kami akan berangkat untuk Terbuka Jepun dan mungkin Terbuka Korea. Jadi tiada banyak masa untuk berehat (sebelum) kembali bekerja.

“Seronok rasanya pulang ke Malaysia, satu lagi rangsangan untuk kami pergi lebih jauh,” kata Aaron ketika ditemui media setibanya mereka dari Paris hari ini.

Turut tiba di tanah air hari ini pemenang gangsa perseorangan lelaki Lee Zii Jia, pemain beregu wanita Pearly Tan dan M. Thinaah dan pemain beregu campuran Chen Tang Jie, bersama pasukan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pada Ahad, Aaron-Wooi Yik menyumbang pingat pertama buat Malaysia di Paris 2024 apabila mereka bangkit daripada kedudukan hampir kalah untuk menewaskan pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 dalam aksi penentuan gangsa.

Wooi Yik menyifatkan perjalanan mereka untuk merangkul gangsa kali ini lebih mencabar berbanding ketika Olimpik Tokyo 2020.

“Berbeza dengan Tokyo tiada penyokong dan sekarang (ketika di Paris) bila masuk stadium rasa gementar dan tekanan di dalam (pertandingan) Olimpik. Ia situasi yang berbeza. 

“Saya dan Aaron gembira dapat atasi situasi di sana. Mungkin (kami) tak dapat sumbang emas tapi puas bagi pingat untuk Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan