SUKAN > BERITA

Rexy Mahu Fokus Misi LA28

07/08/2024 02:11 PM

SEPANG, 7 Ogos (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky belum memikirkan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Beliau berkata fokusnya kini adalah untuk mempersiapkan pasukan badminton negara bagi menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28). 

Katanya BAM tidak akan menunggu lama untuk membincangkan hala tuju skuad negara dan mereka dijangka mengadakan perbincangan pada Selasa minggu depan.

“Saya tak terfikir nanti mahu ke mana. Kalau memang istilahnya saya punya kontrak sudah habis dan BAM lanjutkan...saya (punya) rumah di sini juga. 

“Pada 13 Ogos ini, kita akan duduk dengan pihak pengurusan beramai-ramai dengan perancangan untuk 2028. Apa yang kita sudah buat baik di sini, kita lanjutkan dan mungkin kita lebih padu lagi (namun apa yang) kurang, kita harus tambah,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. 

Rexy berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa komen di laman X yang meminta pemenang emas Olimpik 1996 itu pulang membantu negara kelahirannya, Indonesia.

Perseorangan wanita Gregoria Mariska Tunjung menjadi satu-satunya penyumbang pingat iaitu gangsa untuk republik itu pada edisi Olimpik Paris 2024 yang sedang berlangsung.

Sebelum ini Rexy berkata semua pihak terutamanya pemain harus mula berkorban masa dan tenaga dari sekarang bagi menuju ke kempen edisi LA28. 

Beliau menekankan bahawa semua pihak berkepentingan perlu melaksanakan perkara lebih hebat, yang sebelum ini dianggap mustahil sekiranya betul-betul mahu menggenggam emas di Los Angeles.

Pada Sukan Olimpik Paris 2024, beregu kendaliannya Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mempertahankan pingat gangsa selepas mengatasi Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 16-21, 22-20, 21-19 pada Ahad.

Sementara pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia turut membawa pulang gangsa selepas kemenangan 13-21, 21-16, 21-11 kepada Lakshya Sen dari India keesokan harinya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan