SUKAN > BERITA

Paris 2024: Nur Dhabitah mara ke final 3m papan anjal

08/08/2024 07:35 PM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 8 Ogos (Bernama) -- Penerjun negara Nur Dhabitah Sabri  mengesahkan tempat ke final acara 3 meter (m) papan anjal wanita di Sukan Olimpik Paris 2024 hari ini.

Pada saingan separuh akhir di Olympics Aquatic Centre, Nur Dhabitah menamatkan saingan di tempat kelapan dengan keseluruhan 286.95 mata untuk melangkah ke final yang akan berlangsung pada 3 petang, Jumaat waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).

Atlet berusia 25 tahun itu bermula dengan baik untuk menduduki tangga kedua selepas mengutip 67.50 mata pada terjunan pertamanya.

Bagaimanapun, momentum terjunannya sedikit terjejas pada terjunan kedua dan ketiga dengan mencatatkan masing-masing 55.50 dan 46.50 mata.

Nur Dhabitah yang membuat penampilan ketiganya di Olimpik kali ini menerusi lebihan kuota tidak digunakan atlet negara lain, kemudiannya bangkit pada dua terjunan terakhir dengan masing-masing 57.00 dan 60.45 mata untuk mengesahkan slot ke final.

Hanya 12 penerjun layak meneruskan saingan di pusingan akhir.

Penerjun China, Chen Yiwen mendominasi saingan dengan mengumpul 360.85 mata diikuti Kenny Maddison dari Australia di tempat kedua (334.70) dan Chiara Pellacani dari Itali (314.75) ketiga.

Semalam, Nur Dhabitah berjaya menempatkan diri dalam 18 penerjun terbaik untuk mara ke separuh akhir selepas menduduki tangga ke-12 dengan mengumpul 283.65 mata.

Nur Dhabitah ketika ditemui berkata beliau sangat lega kerana dapat bangkit semula pada dua terjunan terakhir, sekali gus kekal dalam misi memburu pingat.

“Ya Allah, lega sangat sebab di pertengahan prestasi saya mula turun, tapi yang penting saya kena kawal mood dan gemuruh ketika itu untuk naikkan kembali kedudukan.

“Mestilah nak (cabar pingat esok), tapi kita tahu persaingan sangat sengit dan satu kesilapan kecil, boleh hilang mata. Jika hendak dapat markah tinggi, kena betul-betul lakukan terjunan sempurna,” katanya yang pernah membuat penampilan pada edisi 2016 di Rio dan Tokyo 2020.

Ketika penampilan sulungnya di Rio, Nur Dhabitah menamatkan saingan di tempat kesembilan dalam acara 10m platform individu dan kelima dalam acara 3m papan anjal seirama bergandingan dengan Cheong Jun Hoong.

Di Tokyo, beliau terlepas kedudukan podium apabila menamatkan saingan di tempat keempat acara 3m papan anjal individu.

Datuk Pandelela Rinong meraih pingat pertama Malaysia dalam acara terjun apabila memenangi gangsa acara 10m platform wanita di London 2012 sebelum menang pingat perak bersama Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama di Rio 2016.

Seorang lagi wakil negara dalam acara terjun di Paris 2024, Bertrand Rhodict Lises akan memulakan kempen dalam acara 10m platform lelaki, esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan