SUKAN > BERITA

TFC Akui Bakal Berdepan Tugas Getir Di Cheras

09/08/2024 05:45 PM

KUALA NERUS, 9 Ogos (Bernama) -- Skuad Penyu mengakui bakal berdepan tugas getir apabila bertemu pasukan The City Boys di Stadium Cheras, malam esok.

Pengendali Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner berkata beliau menyedari skuad bimbingan Miroslav Kuljanac ketika ini berada dalam momentum terbaik selepas mencatat tiga kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan terakhir Liga Super.

Beliau berkata selepas enam perlawanan, hanya satu mata memisahkan TFC yang berada di tempat ketiga dan KL City FC di kedudukan keempat Liga Super.

"KL City ialah pasukan yang sangat bagus dengan ramai pemain berpengalaman. Tetapi, saya memilih untuk fokus lebih pada pasukan saya...persediaan untuk memenangi perlawanan itu.

"Saya menjangkakan tentangan yang sengit dari pihak lawan esok. Ya, kita kalah pada separuh akhir Piala FA, tetapi pemain kita dalam kondisi yang baik dan kami bertekad membawa pulang tiga mata," katanya ketika dihubungi.

Steinbruckner turut mengingatkan pemainnya supaya lebih berdisplin dan berwaspada dengan situasi bola mati yang menjadi kepakaran skuad KL City FC.

Dalam pada itu, pemain tengah import TFC, Marin Pilj berkata skuad Penyu tidak boleh berasa lega walaupun rekod pertemuan tahun lalu memihak kepada mereka.

Sebaliknya, beliau mahu rakan sepasukannya memperaga aksi lebih bertenaga terutama di barisan pertahanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan