SUKAN > BERITA

Paris 2024: Nur Dhabitah tamat final di tempat ke-12

09/08/2024 11:12 PM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 9 Ogos (Bernama) -- Penerjun berpengalaman negara Nur Dhabitah Sabri menamatkan perjuangan di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menduduki tangga tercorot daripada 12 peserta pada saingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal  wanita  di sini hari ini.

Nur Dhabitah, yang beraksi menerusi kuota tidak digunakan atlet negara lain, sekadar mengumpul 244.80 mata keseluruhan untuk berada di kedudukan ke-12 selepas lima terjunan di Pusat Akuatik Olimpik di sini. 

Sama seperti semalam, penerjun berusia 25 tahun itu bermula baik dengan meraih 63.00 dan 60.00 mata bagi terjunan pertama dan kedua untuk meletakkan dirinya dalam perebutan pingat.

Namun, percubaan terjunan back 2½ somersaults membawa padah apabila hanya mendapat 37.50 mata, manakala kesilapannya dalam percubaan reverse 2½ somersaults menyaksikan beliau hanya meraih 28.50 mata, sebelum memperbaiki prestasinya untuk meraih 55.80 mata pada terjunan terakhir.

Nur Dhabitah mara ke final selepas menduduki tempat kelapan dengan keseluruhan 286.95 mata pada pusingan separuh akhir, semalam.

Penerjun China, Chen Yiwen berjaya mengekalkan dominasi China dalam acara itu sejak edisi 1988 Seoul, apabila meraih emas dengan 376.00 mata, manakala rakan senegaranya meraih gangsa dengan Chang Yani dengan 318.75 mata.

Pingat perak menjadi milik Kenny Maddison dari Australia dengan 343.10 mata.

Ketika penampilan sulungnya di Rio 2016, Nur Dhabitah menamatkan saingan di tempat kesembilan dalam acara 10m platform individu dan kelima dalam acara 3m papan anjal seirama bersama gandingan dengan Cheong Jun Hoong.

Di Tokyo 2020, beliau terlepas kedudukan podium dengan tipis apabila menamatkan saingan di tempat keempat acara 3m papan anjal.

Malaysia hanya pernah meraih dua pingat di kolam terjun Olimpik, iaitu Datuk Pandelela Rinong meraih pingat pertama Malaysia apabila meraih gangsa acara 10m platform wanita di London 2012, seterusnya rangkul perak bersama Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama di Rio 2016.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan