SUKAN > BERITA

Pasukan Lawan Sentiasa Berusaha Kalahkan JDT - Bidoglio

10/08/2024 10:37 AM

ISKANDAR PUTERI, 10 Ogos (Bernama) -- Walaupun berpesta gol pada perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC malam tadi, pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) Hector Bidoglio tetap mengingatkan anak buahnya untuk kekal fokus bagi menghadapi perlawanan berikutnya menentang Perak FC.

Beliau berkata setiap pasukan yang didepani JDT sentiasa berusaha keras untuk menewaskan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu, justeru, beliau meminta pemain supaya mengekalkan rentak permainan cemerlang dan sentiasa meningkatkan prestasi masing-masing.

"Kita tidak ada masa untuk relaks, kita perlu kekalkan fokus, dinamik dan terajui perlawanan. Kita  berlatih setiap minggu dan fokus kita untuk mempertingkatkan skil individu kerana kita ada beberapa perlawanan akan datang.

"Kita memang kaji dan lihat perlawanan pasukan lawan tetapi semua pasukan yang menentang JDT akan berusaha mengalahkan kita dan akan bermain 'lain' apabila menentang kita. Jadi kita ada plan A dan plan B jadi penting untuk kita kekal fokus. Pada kami penting untuk menang," katanya kepada pemberita.

Pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, JDT membelasah Kedah 6-0 menerusi  Bergson da Silva pada minit kelapan, (35' dan 64’), Feroz Baharuddin (74’), Murilo Henrique (75’) dan Afiq Fazail (79’).

Sementara itu, Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain mengakui anak buahnya banyak melakukan kesilapan yang memberikan gol mudah kepada tuan rumah selain mengakui kelemahan di bahagian jentera serangan.

“Mungkin  pemain agak  hilang fokus  jadi di situlah kesilapan dilakukan. Bertemu dengan JDT ini tidak boleh buat kesilapan sebab kalau buat memang kena hukumlah.

"Secara  keseluruhan  walaupun tiada pemain utama,  mereka bermain dengan baik maksudnya ada masanya kita boleh menyaingi JDT cuma kelemahan kita dari segi serangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan