SUKAN > BERITA

Sabah FC 'serap' Tekanan, Raih Kemenangan Di Gelanggang Lawan

10/08/2024 02:16 PM

TEMERLOH, 10 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee menyifatkan anak buahnya terpaksa berdepan tekanan hebat daripada Sri Pahang FC sebelum berjaya meraih kemenangan mutlak 3-2 pada aksi di gelanggang lawan pada saingan Liga Super, di sini malam tadi.

Ong berkata ini kerana pasukan tuan rumah dilihat menampilkan persembahan berbeza pada babak kedua yang menyaksikan mereka banyak mencipta dan berpeluang menjaringkan gol selepas ketinggalan.

"Kita melihat keputusan ini amat positif dan baik buat Sabah tetapi pada babak kedua Sri Pahang berjaya memperolehi gol pada awal permainan.

"Ini memberi kita banyak tekanan terutama di bahagian pertahanan manakala Sri Pahang mendapat begitu banyak peluang tetapi mereka gagal menyempurnakannya," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di sini. 

Ong berkata beliau gembira dengan kejayaan membawa pulang tiga mata itu dan berharap skuad kendaliannya berupaya mengekalkan rentak konsisten pada setiap perlawanan akan datang.

"Kedudukan kita di dalam liga agak baik, tetapi ia masih terlalu awal yang mana jurang mata antara kelompok kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam masih rapat. Pemain perlu beraksi konsisten terutamanya di tempat lawan dan ia menentukan kedudukan kita pada akhir saingan Liga Super," katanya.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC Fandi Ahmad berkata pemain sudah menonjolkan aksi terbaik untuk menumpaskan Sabah tetapi nasib malang masih menyelebungi skuad bimbingannya.

"Sri Pahang memperolehi begitu banyak peluang iaitu sekurang-kurangnya enam pada babak kedua yang mana tiga daripadanya seharusnya berhasil.

"Namun ketajaman serangan masih tiada walhal kita sepatutnya boleh menang dengan sebegitu banyak gerakan dan peluang, saya enggan menyalahkan sesiapa tetapi perlu menyalahkan diri sendiri," katanya.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 62 tahun itu berkata prestasi Sri Pahang secara keseluruhannya dilihat kian meningkat dan mengharapkan kemenangan kembali berpihak kepada pasukannya pada perlawanan seterusnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan