SUKAN > BERITA

Aaron Chia Bakal Terima Insentif Khas Dari Kerajaan Negeri Melaka

10/08/2024 03:00 PM

MELAKA, 10 Ogos (Bernama) -- Pemain badminton beregu negara Aaron Chia bakal menerima insentif khas daripada Kerajaan Negeri Melaka atas kejayaan meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024, baru-baru ini.

Exco Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata pemberian itu sebagai penghargaan atas pencapaian atlet berasal dari Batu Berendam itu pada temasya paling berprestij di dunia.

"Saya mewakili kerajaan negeri juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kemenangan pasangan beregu negara ini yang telah mengharumkan nama negara dan Melaka.

"Semua anak Melaka yang berjaya dalam sukan akan diiktiraf kerajaan negeri menerusi sumbangan atau anugerah khas berupa wang tunai atau hadiah tertentu," katanya kepada pemberita di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka di sini hari ini. 

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA  Melaka dan turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal dan Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri Mohd Khairol Kamis.

Mengulas lanjut Shanmugam berkata mana-mana atlet yang berjaya dalam kejohanan sukan juga akan menerima jumlah setimpal mengikut skala ditetapkan sama ada di peringkat dunia, Asia, serantau atau di peringkat Sukan Malaysia (SUKMA).

Katanya pemberian insentif khas buat Aaron itu akan diselaraskan bersama penyerahan imbuhan kepada pemenang pingat di SUKMA Sarawak 2024 nanti.

Pada Ahad minggu lepas, dalam aksi dramatik, beregu lelaki utama Malaysia Aaron- Soh Wooi Yik berjaya menewaskan pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 dalam perlawanan penentuan gangsa.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan