SUKAN > BERITA

Paris 2024: Mohd Azizulhasni Tiada Niat Pintas Pacer

11/08/2024 11:32 AM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengakui tidak berniat untuk memintas pacer (derny - basikal elektrik bertindak sebagai pacer) ketika saringan pertama acara keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.

Mohd Azizulhasni yang dibatalkan penyertaannya menjelaskan tindakan itu susulan berlakunya halangan dan himpitan berterusan daripada pelumba Perancis, Rayan Helal selain pacer bergerak pada kelajuan tidak sepatutnya iaitu 40 hingga 45 kilometer sejam (km/h) dan tidak memecut keluar seperti kebiasaan.

Beliau berkata sebagai pelumba elit, lazimnya mereka tahu kelajuan pacer sebelum memecut keluar yang secara lazimnya mencecah 50-55km/h.

“Saya yang tengah bergolak dengan pelumba Perancis itu perasan pacer masih belum memecut keluar, terkejut dan cuba back pedal sebagai cara untuk breaking akan tetapi malangnya tak sempat untuk memperlahankan kelajuan seperti diinginkan.

“Berdasarkan peraturan perlumbaan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong pacer sebelum pacer keluar di pursuit line iaitu garisan halus di tengah front stretch (bukannya garisan permulaan),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Pelumba berusia 36 tahun itu turut berkongsi mengenai percaturan perlumbaan yang telah direncanakan bersama ketua jurulatih John Beasley selepas mendapat undian, iaitu adalah untuk terus ke depan dan cuba dapatkan posisi itu seawal mungkin.

Perancangan itu dibuat kerana beberapa kelibat pelumba dengan kelajuan tinggi ada dalam saingan dan jika mereka memecut, ia akan menyukarkan beliau untu bergerak ke hadapan.

Sekiranya menggunakan taktik menunggu, pemenang dua kali pingat Sukan Olimpik itu khuatir kemungkinan halangan dan jurang dari beberapa pelumba hadapan dan disebabkan itu Mohd Azizulhasni memilih taktik terbaik bagi meningkatkan peluang untuk menang, dan ia pernah digunakan pada pusingan awal saingan di Tokyo 2020.

“Berbaki satu pusingan sebelum pacer keluar saya sudah bergerak ke hadapan secara perlahan-lahan dari belakang, ini sama ketika saya lakukan di perlumbaan Asian Championships di Kuala Lumpur dahulu.

“Perancangannya adalah untuk bergerak ke hadapan dan berada di sebelah luar pelumba pertama atau kedua dan selepas pacer keluar saya akan terus memecut untuk merebut kedudukan posisi paling hadapan (pertama),” katanya.

Bagaimanapun, juara dunia keirin 2017 itu  berkata ketika melepasi selekoh ketiga dan sebelum memasuki selekoh keempat, beliau dihalang dengan himpitan dari pelumba tuan rumah yang disifatkannya terlalu agresif yang menyebabkannya hampir terjatuh namun berjaya mengawal dengan baik.

Pelumba kelahiran Dungun itu berkata Helal terus mengekori rapat beliau selain cuba menghimpitnya sekali gus membuatnya bergerak ke depan untuk mengelak lawannya.

Berikutan 'hukuman’ itu, Beasley dan Pengurus Pasukan Izham Mohammad terus berjumpa panel Komisar bagi menjelaskan keadaan dan memohon untuk melakukan semakan video perlumbaan namun panel Komisar memilih untuk kekal dengan keputusan sama.

”Ada tak keadaan di mana pelumba melakukan kesalahan terang secara sengaja atau tidak sengaja yang menyalahi undang-undang perlumbaan tetapi tidak dikenakan kesalahan atau diberikan peluang oleh panel Komisar? Jawapannya ada. 

“Boleh rujuk perlumbaan semi-final sprint (separuh akhir pecut) antara pelumba Great Britain dan Belanda  juga perlumbaan quarter-final (suku akhir) antara pelumba Great Britain dan Jepun,” katanya.

Menurut Mohd Azizulhasni, insiden di Paris 2024 mengingatkan beliau kepada final keirin edisi Rio 2016, menyaksikan perlumbaan diberhentikan dua kali dan dimulakan kembali tanpa seorang pun pelumba dikeluarkan.

“Sukan lumba basikal trek memang keputusan mutlak daripada panel Komisar. Walaupun suatu ketika dahulu jurulatih dan pasukan boleh membawa hujah dan video untuk di reviu kembali akan tetapi sampai pada suatu ketika semuanya diubah sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azizulhasni berharap semua pihak memberikan sokongan dan doa kepada rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menggalas tanggungjawab serta harapan baharu membawa pulang pingat emas sulung kontinjen Malaysia.

Muhammad Shah Firdaus melayakkan diri ke suku akhir keirin lelaki selepas mengungguli saringan ketiga pusingan repechage di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines.

Perlumbaan suku akhir dijadual pada 11.29 pagi Ahad waktu tempatan (5.29 petang waktu Malaysia) diikuti separuh akhir sejam kemudian dan final pada 1.32 tengah hari (7.32 malam waktu Malaysia).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan