SUKAN > BERITA

ISN Sedia Perkhidmatan Sokongan Kepada 'The Pocket Rocketman'

11/08/2024 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Institut Sukan Negara (ISN) akan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada jaguh berbasikal negara Datuk Azizulhasni Awang yang berdepan situasi sukar selepas penyertaannya dalam acara keirin lelaki temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dibatalkan semalam. 

Ketua Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin berkata setelah rayuan dikemukakan pihaknya berhubung pembatalan itu ditolak, kontinjen Malaysia berterusan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada The Pocket Rocketman.

"Ketua Komisar dan wakil badan induk dunia UCI mengekalkan keputusan membatalkan penyertaan Mohd Azizulhasni akibat memintas derny atau motosikal yang menentukan rentak di hadapan kelompok pelumba sebelum motosikal keluar dari gelanggang perlumbaan.

"Kontinjen Malaysia dengan berat hati menerima keputusan ini dan akan memberi sokongan moral tidak berbelah bahagi kepada beliau," katanya menerusi hantaran di laman Facebook Majlis Sukan Negara (MSN).

Mohd Azizulhasni yang menggalas impian negara untuk merangkul pingat emas pertama di Sukan Olimpik tersingkir awal selepas penyertaannya dibatalkan pada perlumbaan saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines di Paris semalam. 

Pelumba berusia 36 tahun itu dikesan memintas derny sebelum garisan penamat, dan perlumbaan dimulakan semula tanpa penyertaan Mohd Azizulhasni.

Penyandang pingat perak itu sepatutnya bersaing dengan lima pelumba lain iaitu Matthew Glaetzer dari Australia, Rayan Helal (Perancis), Kaiya Ota (Jepun), Jeffrey Hoogland (Belanda) dan pelumba Suriname, Jair Tjon En Fa.

Saringan satu itu dimenangi Glaetzer sementara kedua menjadi milik Hoogland.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan