SUKAN > BERITA

Anak Sabah Perlihat Keunikan Busana Malaysia Di Olimpik Paris 2024

11/08/2024 01:55 PM

Oleh Fadzli Ramli

TENOM, 11 Ogos (Bernama) -- Mengenakan pakaian Kadazandusun dan bertanjak motif Jalur Gemilang bagi memberi sokongan membara kepada atlet negara pada Olimpik Paris 2024, Yap Ken Vun dari Tenom menarik perhatian lensa kamera pada temasya itu.

Malah, video Yap, 36, menari tarian tradisional Sumazau sambil mengenakan pakaian tradisi itu dan video lain antaranya berbaju Melayu pada Sukan Olimpik itu turut tular dalam media sosial, sekali gus menjadi tarikan warga siber di seluruh dunia, memperlihatkan keindahan budaya dan tradisi Sabah juga Malaysia ke mata dunia.

Gambar-gambar anak Sabah itu mengenakan busana berkenaan sambil mengibarkan Jalur Gemilang di mercu tanda utama kota itu, Menara Eiffel juga menjadi kebanggaan rakyat Negeri di Bawah Bayu itu dan juga Malaysia.

Menurut Yap, pengembaraan ke kota Paris ialah sebuah misi peribadi yang bukan sahaja untuk menyokong atlet Malaysia pada temasya paling berprestij itu, tetapi juga untuk memperkenalkan budaya tradisional Sabah dan Malaysia kepada dunia.

Eksekutif sumber manusia itu pada asalnya mahu mencipta sebuah kelainan menghadiri acara sukan berkenaan dengan menyerlahkan pakaian Kadazandusun dan Malaysia di negara lain, namun dia tidak menyangka usahanya menarik perhatian ramai dan mencipta sensasi melalui media sosial.

“Saya ingin membuat kelainan tetapi tidak sangka pula gambar dan video saya menjadi tular. Semestinya saya bangga lebih-lebih lagi identiti Sabah serta Malaysia itu dipapar dalam televisyen secara langsung dan jadi tontonan seluruh dunia," katanya dihubungi Bernama.

Yap merupakan antara penonton yang bersorak memberi sokongan hebat kepada atlet Malaysia di gelanggang badminton, dan juga atlet olahraga negara.

Paling tidak dilupakan katanya, ketika dia dapat menyaksikan sendiri bagaimana beregu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, serta pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia berjuang bermati-matian untuk meraih pingat gangsa buat Malaysia.

"Biarpun saya belum dapat tengok atlet kita meraih emas di depan mata, bagi saya melihat sendiri kemenangan dua pingat gangsa pada Olimpik kali ini membuatkan saya berpuas hati, bangga dapat datang sejauh itu," katanya.

Bercerita mengenai perjalanannya ke Paris yang menjadi impian setiap peminat sukan untuk menyaksikan Olimpik, Yap berkata dia berhasrat menjadikan mimpinya itu satu kenyataan dengan berusaha mengumpul simpanan sehingga mencecah RM12,000 bagi menampung kos perbelanjaan ke sana.

Tiba masanya, beliau terbang ke Paris pada 31 Julai lepas berseorangan dan yang tersemat dalam jiwanya hanyalah satu, iaitu memberi sokongan kepada atlet negara, selain memperkenalkan Sabah dan Malaysia ke mata dunia.

Yap mengambil pendekatan bijak untuk untuk tidak bermewah dan menguruskan perbelanjaannya dengan cermat antaranya RM350 bagi membeli pas untuk pengangkutan selama seminggu dan memanfaatkan sepenuhnya sistem pengangkutan awam di ibu kota Perancis itu.

"Pergi tengok Olimpik tidak semestinya kita kena bermewah, penginapan saya berkongsi dengan seorang lagi penyokong Malaysia, Chao Khai Yuen jadi kos itu kami kongsi bersama," katanya dan menambah dari segi makan minum, dia sering dibelanja rakan lain sekali gus menjimatkan wangnya di sana.

Merenung kembali, Yap berasa terharu dan hampir tidak percaya yang dia telah mencatat sejarah dirinya sendiri yang berjaya ke kota Paris menyaksikan kejohanan sukan terbesar dunia dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet Malaysia yang berhempas-pulas mengharumkan nama negara.

“Ini sahaja pengorbanan yang dapat saya lakukan untuk membalas jasa mereka (atlet) dan untuk negara yang saya cintai,” katanya yang bertolak pulang ke tanah air pada 6 Ogos lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan