SUKAN > BERITA

Olimpik Paris 2024: Semangat Juang Muhamad Shah Firdaus Kebanggaan Malaysia - Ahmad Zahid

11/08/2024 10:40 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semangat juang yang ditunjukkan pelumba berbasikal trek negara Muhamad Shah Firdaus Sahrom ketika aksinya pada final acara keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, satu kebanggaan buat seluruh rakyat Malaysia.

“Terima kasih Shah Firdaus Sahrom. Tidak mengapa Shah. Nasib tidak menyebelahi. Saya tahu ini bukan suatu yang mudah, tetapi anda telah lakukan yang terbaik. Mari kita maju kehadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid berharap agar Muhamad Shah Firdaus dan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, akan meneruskan usaha membangunkan industri berbasikal negara.

“Saya yakin satu hari nanti emas berbasikal milik Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh turut mengucapkan terima kasih kepada Muhamad Shah Firdaus, yang telah berjuang habis-habisan untuk Malaysia.

“Anda masuk final, peningkatan bagus berbanding Olimpik lepas. Terima kasih Shah kerana berikan yang terbaik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Muhamad Shah Firdaus disingkirkan pada final acara keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, meskipun menamatkan cabaran di kedudukan keempat, hari ini.

Pada aksi itu, atlet berusia 28 tahun berasal dari Muar itu yang sedang memecut untuk menuju garisan penamat, dirempuh pelumba Jepun Shinji Nakano yang menyebabkan pelumba Great Britain Jack Carlin hilang kawalan sekali gus terjatuh, semasa pusingan terakhir di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.

Meskipun keputusan pada mulanya menunjukkan Muhammad Shah Firdaus menamatkan saingan pada kedudukan keempat, keputusan itu tiba-tiba berubah kepada disingkirkan (relegated) oleh laman sesawang rasmi temasya tersebut, menjadikan beliau tercampak ke kedudukan keenam.

Pingat emas acara itu milik pelumba Belanda Harry Lavraysen diikuti perak dan gangsa masing-masing milik Matthew Richardson dari Australia dan rakan senegaranya Matthew Glaetzer.

 Malaysia secara rasmi menamatkan kempen Olimpik Paris dengan dua gangsa masing-masing menerusi perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan