SUKAN > BERITA

Kuching City Ikat Penang, Negeri Sembilan Kecundang Di Tangan PDRM FC

12/08/2024 12:11 AM

KUCHING, 11 Ogos (Bernama) -- Impian Kuching City FC untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri pada perlawanan Liga Super 2024-2025 tidak kesampaian apabila bangkit untuk mengikat Penang FC 2-2 pada aksi di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Babak pertama perlawanan berlangsung seimbang apabila dilihat saling berbalas serangan namun gagal diterjemahkan kepada sebarang bentuk gol.

Skuad Harimau Kumbang dibimbing Akmal Rizal Ahmad Rakhli terlebih dahulu memecah kebuntuan gol menerusi pemain kelahiran Brazil,Joao Ferreira de Oliviera Neto yang menyambut hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-36. 

Tidak menunggu lama, Penang FC terus mempamer aksi cemerlang sebelum Rodrigo Dias mengukuhkan kedudukan pada minit ke-41.

Kuching City merencanakan kebangkitan dengan ledakan gol oleh pemain gantian Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-69 yang menyambut hantaran Jimmy Raymond. 

Lantunan bola oleh penjaga gol Penang FC Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman akibat menepis sepakan percuma pemain tengah Kuching City Mohamad Alif Hassan tidak disia-siakan rakan sepasukan Tchetche Kipre yang melengkapkan jaringan pada minit-79, sekali gus menyamakan kedudukan.

Di SEREMBAN, Negeri Sembilan FC (NSFC) mengalami kekalahan keenam mereka dalam kancah liga selepas tewas 1-2 kepada PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

R. Barathkumar berjaya meletakkan Skuad Jang di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-45 berpunca daripada kesilapan kapten PDRM FC, Faith Friday yang mengeluarkan bola daripada kawasan gol namun singgah tepat ke kaki pemain itu.

Kegembiraan tuan rumah bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi meledak gol penyamaan pada minit ke-53.

Skuad Sang Saka Biru melebarkan penguasaan menerusi gol kedua dijaringkan Bruno Suzuki selepas dia berjaya menolak masuk bola lorongan daripada Fadi Mahmood Awad Salleh lima minit kemudian, menewaskan penjaga gol NSFC Muhamad Aqil Abdul Razak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan