SUKAN > BERITA

Hannah Tumpu Memperkasakan Bekas Atlet Dalam Pembangunan Sukan

12/08/2024 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, ingin memastikan legasinya tertumpu kepada usaha memperkasakan bekas atlet untuk menyokong atlet yang aktif dan atlet yang bakal muncul, kerana percaya bahawa pengalaman dan pemahaman mendalam mengenai keperluan dan kehendak atlet, menjadikan mereka amat berharga.

Hannah berkata antara matlamat utamanya sebelum menamatkan penggalnya adalah untuk memastikan individu yang sesuai ditempatkan pada kedudukan yang betul dalam ekosistem sukan.

Bagaimanapun, beliau mengakui dan menghormati kedudukan mereka yang dipilih melalui proses demokrasi.

Mengimbas pengalamannya di Sukan Olimpik Paris 2024, Hannah berkata beliau menghabiskan banyak masa bersama legenda skuasy negara Datuk Nicol Ann David, yang merupakan Timbalan chef de Mission negara Kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024.

Hannah melahirkan harapan agar Nicol akan terus membantunya dalam pembinaan negara melalui pembangunan sukan.

“Dalam tempoh singkat sebagai Menteri, saya telah melantik ramai bekas atlet utama untuk membantu saya. Saya percaya bahawa bekas atlet memahami sukan dan keperluan atlet. Dalam jawatankuasa Road To Gold, saya mempunyai tiga bekas atlet utama untuk bantu saya iaitu Lee Chong Wei (legenda badminton), Nicol Ann David, dan Mirnawan Nawawi (bekas pemain hoki negara),".

"Dalam Majlis Sukan Negara, saya mempunyai Olympian Suriaghandi Suppiah dan Chong Wei untuk membantu saya. Di Institut Sukan Negara, saya mempunyai Datuk Marina Chin dan Nicol yang membantu saya. Di YAKEB saya mempunyai Farah Ann, Jeffrey Ong dan Soo Beng Kiang untuk membantu saya ," katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Hannah turut melantik bekas ratu renang Nurul Huda sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan Selamat, bersama pentadbir sukan seperti Datuk Seri Windsor John dari Konfederasi Bola Sepak Asia (Stadium Perbadanan Malaysia) dan Datuk Stuart Ramalingam sebagai penyelaras program Road to Gold.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan