SUKAN > BERITA

Kebergantungan Kepada Kuda Tua Punca Malaysia Gagal Raih Emas Di Olimpik

12/08/2024 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kebergantungan kepada atlet lama atau ‘kuda tua’ antara punca Malaysia masih kempunan untuk meraih pingat emas pertama di temasya Olimpik.

Pemerhati sukan Asan Ahmad berpandangan skrip itu masih tidak berubah apabila kontinjen negara masih memerah kudrat ‘orang lama’ bagi merealisasikan impian untuk meraih pingat emas pada edisi Paris 2024.

Beliau berkata senario itu perlu diubah dengan persatuan-persatuan mewujudkan satu program yang berkesan dalam melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan masing-masing.

“Pada pandangan saya, kita masih gagal untuk dapat pingat emas di Olimpik kerana kita gagal lahirkan atlet baharu yang berpotensi untuk sumbang pingat emas. Kita masih bergantung kepada atlet lama untuk sumbangkan pingat.

“Boleh bayangkan atlet seperti Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang semakin dimamah usia masih diberi kepercayaan untuk bertanding di pentas Olimpik. Tak salah menyenaraikan dia, tetapi dia harus didampingi barisan pelapis.

"Mana atlet-atlet pelapis kita yang lain, dan itu menunjukkan kelemahan program persatuan untuk lahirkan atlet-atlet berbakat. Kita dah tak boleh bergantung dengan Azizulhasni selamanya. Harus ada lebih ramai pelapis,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu Malaysia menamatkan kempen Olimpik Paris 2024 dengan dua gangsa melalui sukan badminton masing-masing menerusi beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia.

Bagaimanapun, pencapaian itu dilihat masih kurang memuaskan berbanding edisi lalu apabila meraih satu pingat perak menerusi sukan berbasikal trek dalam acara keirin oleh Mohd Azizulhasni dan pingat gangsa acara badminton beregu lelaki, Aaron-Wooi Yik.

Dalam pada itu, Asan berpandangan sudah tiba masanya untuk tampuk kepimpinan persatuan sukan yang gagal di pentas Olimpik dirombak bagi memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk menerajuinya.

“Satu lagi punca kita gagal membawa pulang pingat emas adalah kita memberi kepercayaan kepada orang sama, walhalnya mereka ini gagal untuk membawa sukan itu ke tempat lebih tinggi dalam temasya sebelumnya dan juga persatuan yang mereka pimpin.

“Kita mesti memilih orang yang tepat untuk melakukan perkara yang betul. Kalau ambil orang yang salah, sampai bila pun kita akan mengulangi benda yang salah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berpandangan sudah tiba masanya untuk Malaysia meneroka sukan lain berbanding hanya fokus kepada sukan popular.

Beliau yang juga pemerhati sukan berpandangan Malaysia perlu menjadikan negara jiran seperti Indonesia sebagai contoh apabila memecahkan tradisi pingat emas yang kebiasaannya didominasi oleh sukan badminton di temasya Olimpik dengan membawa pulang pingat emas menerusi acara panjat dinding dan angkat berat di Paris 2024.

“Kita tak payah pergi jauh dan jadikan Indonesia sebagai contoh. Olimpik ini mereka tak dapat emas dalam acara badminton tetapi angkat berat dan panjat dinding.

“Kita juga boleh teroka sukan-sukan berpotensi raih pingat emas seperti kanu dan kayak kerana kita ada atlet-atlet berbakat dan kemudahan yang bagus. Sukan ini tak tertumpu kepada aspek fizikal tetapi kepada teknologi perkakasan sukan itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan