SUKAN > BERITA

BAM Akui Gagal Capai Sasaran Di Olimpik Paris 2024

13/08/2024 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui pemain-pemain di bawah naungannya yang beraksi di temasya Olimpik Paris 2024 tidak mencapai sasaran ditetapkan selepas gagal membawa pulang pingat emas.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata bagaimanapun, beliau tidak mahu memberikan sebarang alasan berkenaan pencapaian itu sebaliknya mahu segera melupakan perkara berkenaan selain mahu fokus untuk meningkatkan prestasi pemain negara pada masa akan datang.

“Kami gagal capai sasaran, tapi badminton masih sukan yang sumbang pingat kepada kontinjen dalam hampir setiap Olimpik. Mungkin ada yang cakap sekadar gangsa, tapi ia bukan mudah, saya terima kasih atas sokongan diberikan. 

“Jadi, saya tidak mahu bagi alasan kerana letak benda ini di belakang dan buat penambahbaikan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Pada edisi Olimpik Paris 2024, pasangan di bawah naungan BAM hanya berjaya membawa pulang pingat gangsa menerusi gandingan Aaron-Wooi Yik, manakala dua lagi wakil, Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) masing-masing mara ke aksi penentuan pingat gangsa dan suku akhir.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky berkata perasaannya bercampur baur berkenaan prestasi anak buahnya di temasya berprestij itu.

Beliau berpandangan pemain-pemain BAM tidak gagal sepenuhnya kerana mereka berjaya mempamerkan peningkatan prestasi berbanding sebelum ini.

“Perasaan bercampur baur itu ada, sebab kecewa kerana gagal bawa pulang pingat emas, tetapi gembira juga berasaskan persembahan pemain.

“Mereka hampir raih pingat emas. Saya harap selepas ini tiada lagi perkataan hampir dan boleh bawa pulang pingat emas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan