SUKAN > BERITA

KBS Sabah Beri Komitmen Ganti Kemudahan Peralatan Sukan 'Uzur'

13/08/2024 07:12 PM

KOTA KINABALU, 13 Ogos (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah memberikan komitmen untuk menambah baik dan seterusnya menggantikan kemudahan peralatan sukan yang 'uzur', kata menterinya Datuk Ellron Angin.

Beliau berkata pihaknya sangat responsif mengenai keadaan itu dan optimis mengambil inisiatif dalam usaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Datang berbincang dengan kami. Kita akan usaha untuk mengganti semampu yang boleh termasuk (kemudahan peralatan sukan) untuk sukan yang lain bukan gimnastik sahaja.

“Kita bekerja sebagai satu pasukan, datang berbincang dan beritahu (kemudahan peralatan sukan) ini rosak, mungkin kita boleh buat sesuatu," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Baru-baru ini, Bernama melaporkan semangat gimnas Sabah tetap membara dalam usaha mereka membawa pulang pingat buat kontinjen negeri ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 meskipun berdepan kekangan kemudahan peralatan sukan yang ‘uzur’ mencecah lebih 20 tahun khususnya di Dewan Gimnastik, Kompleks Sukan Likas.

Ellron berkata kementerian memahami tentang keperluan penyediaan kemudahan peralatan sukan lebih baik untuk atlet Sabah menjalani sesi latihan demi menjamin keselamatan.

"Kemudahan itu mesti disesuaikan dengan sukan tertentu. Ada kemudahan sukan untuk semua tetapi ada juga kemudahan secara spesifik untuk sukan tertentu. Ini sepatutnya kita tangani bersama kerana ia adalah keperluan.

"Kalau tidak ada kemudahan ini, sukar untuk kita memajukan sukan dan memajukan prestasi atlet-atlet kita. Hari ini kita nampak dengan kemudahan yang canggih, kita boleh mempertingkatkan prestasi atlet. Itu kita tidak nafikan. Ini satu keperluan bukan pilihan," jelasnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan