SUKAN > BERITA

Hannah Mohon Maaf Kepada Seluruh Rakyat Malaysia

13/08/2024 10:22 PM

SEPANG, 13 Ogos (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana kontinjen negara masih belum berjaya membawa pulang pingat emas pertama daripada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau menyifatkan program Road To Gold (RTG) untuk menamatkan kemarau 68 tahun pingat emas sebagai ‘tidak gagal’ sebaliknya ia masih belum berjaya.

Beliau berkata seperti diumumkan sebelum ini RTG ditubuhkan tahun lepas merupakan program jangka masa panjang yang dilaksanakan bagi dua temasya Sukan Olimpik iaitu Paris 2024 dan Los Angeles pada 2028. 

 “Jadi kita belum berjaya mendapatkan pingat emas pertama dan seperti yang saya nyatakan pemegang taruh kita dalam RTG adalah atlet dan jurulatih kerana ini (RTG) adalah ‘top service’ untuk mereka  pertingkatkan peluang dapatkan pingat emas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tiba bersama skuad berbasikal Olimpik Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. 

Hannah yang juga Pengerusi Bersama RTG berkata walaupun belum berjaya  membawa pingat emas namun program itu menyaksikan peningkatan prestasi bagi beberapa atlet. 

Beliau berkata ini terbukti apabila tiga atlet telah berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada temasya itu iaitu pelumba basikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan selain terdapat beberapa atlet lain mencipta catatan peribadi terbaik.

Katanya Jawatankuasa RTG akan bermesyuarat dan mendapatkan laporan teknikal daripada kesemua pasukan bagi menilai prestasi serta menyediakan laporan beraudit bekenaan perbelanjaan program itu.

Namun, beliau berkata pihaknya memerlukan masa untuk bermesyuarat dan menyediakan laporan tersebut kerana berdepan jadual padat susulan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak dan Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula 28 Ogos ini. 

Malaysia menamatkam misi Olimpik Paris 2024 dengan dua pingat gangsa menerusi beregu badminton lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Sik dan jaguh perseorangan lelaki negara  Lee Zii Jia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan