SUKAN > BERITA

Sukan Paralimpik: Dapatkan Pingat Dahulu, Baru Fikir Strategi Lain - CDM

14/08/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Skuad powerlifting negara diingatkan agar memastikan pingat berada di dalam genggaman atlet mereka terlebih dahulu sebelum mengatur sebarang strategi lain pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris yang dijadual berlangsung 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Paralimpik 2024 Datuk R. Subramaniam berkata antara strategi dimaksudkannya termasuk percubaan memecahkan rekod temasya ataupun dunia pada saingan berlangsung di Porte de La Chapelle Arena dari 4-8 Sept ini.

Subramaniam menegaskan langkah sedemikian perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku sekali gus menyaksikan pingat hilang dari genggaman mereka.

“Jurulatih tahu berapa berat perlu diangkat, tetapi perkara paling penting ialah mendapatkan pingat dahulu, selepas itu baru cuba pecah rekod yang merupakan satu bonus.

“Kita tidak mahu buat kesilapan seperti memilih berat yang salah, nanti terlepas pingat, apa yang pernah berlaku kita perlulah jadikan iktibar. Sebelum ini ada atlet tewas dengan perbezaan 1 kilogram (kg) sahaja, jadi anda perlu pastikan dengan merancangnya sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir kem powerlifting kebangsaan di sini hari ini.

Subramaniam pada masa sama mengesahkan seramai 30 atlet dari lapan jenis sukan akan membawa cabaran negara pada Paris 2024 yang merupakan kontinjen terbesar negara dalam sejarah penyertaan di Sukan Paralimpik setakat ini.

Sementara itu, jurulatih skuad powerlifting negara, Jamil Adam berkata pihaknya meletakkan sasaran kepada juara bertahan kategori 72kg lelaki Bonnie Bunyau Gustin untuk memecahkan dua rekod miliknya sendiri iaitu dunia 231kg serta temasya 228kg.

Beliau berkata wakil Itali Donato Telesca yang memiliki angkatan peribadi terbaik 216kg bakal menjadi pencabar terdekat Bonnie walaupun jurang angkatan badang negara itu jauh meninggalkan lawannya itu.

Jamil juga menjangkakan saingan lebih sengit mungkin akan berlaku buat Jong Yee Khie untuk berada dalam kedudukan podium walaupun berjaya membawa pulang pingat perak kategori 107kg lelaki pada Sukan Paralimpik 2020.

Terdapat empat pencabar lain yang berjaya melepasi catatan terbaik Yee Khie iaitu 230kg sekali gus menyaksikan atlet dari Sarawak itu berkedudukan kelima terbaik dunia ketika ini, tambah beliau.

“Kita sasarkan Yee Khie berada dalam kedudukan lima terbaik dahulu di Paris 2024, ini kerana terdapat peningkatan mendadak dari atlet lain, cuba bayangkan sekarang ada empat atlet yang boleh buat angkatan 230kg dan ke atas, jadi ia sangat mencabar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meletakkan sasaran kepada Nicodemus Manggoi Moses untuk berada dalam kelompok lima teratas memandangkan Paris 2024 merupakan penampilan sulungnya di pentas Paralimpik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan