SUKAN > BERITA

Skuad Terjun Perlu Kukuhkan Ketahanan Mental, Ubah Mentaliti - Jurulatih

14/08/2024 05:33 PM

SEPANG, 14 Ogos (Bernama) -- Jurulatih kem terjun negara Nor Aznizal Najib optimis Malaysia masih mempunyai atlet berkualiti dan pelapis baru bagi sukan terjun, namun para atlet perlu mengukuhkan daya ketahanan mental demi mencapai matlamat mereka menjelang Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

Beliau yang pernah di bawah bimbingan jurulatih dari China Yang Zhuliang berkata atlet negara perlu mengubah mentaliti dengan meletakkan sasaran lebih tinggi di Sukan Olimpik dan bukan sekadar menyasarkan untuk layak menyertai temasya sukan berprestij itu. 

“Bagi saya, masa depan LA 2028 agak positif sebab kita ada atlet yang berpotensi, kita cuma perlu betulkan penetapan minda mereka.

“Atlet perlu letakkan sasaran tinggi sikit, bukan hanya nak layak ke Olimpik,” katanya kepada pemberita setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Paris di sini semalam.

Nor Aznizal merupakan jurulatih tempatan pertama mengetuai skuad terjun yang beraksi di Sukan Olimpik setelah dilantik pada Mac lepas.

Dalam pada itu, beliau memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan penerjun negara Nur Dhabitah Sabri di Sukan Olimpik Paris baru-baru ini biarpun mengharungi jadual latihan dan persiapan yang singkat susulan layak pada saat akhir. 

"Agak mengejutkan juga bagi kami apabila dia (Dhabitah) layak pada saat akhir. Masa itu kami berlatih di Melbourne, daripada tiada harapan terus ada sinar.

"Saya lihat dari segi intensiti berbaki dua minggu yang singkat itu sebelum Olimpik (Paris). Saya lihat kesungguhan Dhabitah, dia cuba fokus dan positif dalam latihan. Cuma kita tidak tahu apa dia rasa ketika itu," katanya. 

Nur Dhabitah menamatkan saingan di Sukan Olimpik Paris di tangga tercorot pada pusingan final acara 3 meter (m) papan anjal wanita sekali gus menyaksikan edisi kedua pasukan terjun gagal membawa pulang sebarang pingat di temasya empat tahun sekali itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan