SUKAN > BERITA

MILO Semarakkan Semangat Pelajar Sarawak Dengan Aktiviti Sempena Sukma 2024

15/08/2024 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- MILO, jenama minuman coklat malt terkenal, bersedia untuk membuatkan kira-kira 10,000 pelajar sekolah di sembilan bahagian di Sarawak bertambah teruja dengan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dari 17-24 Ogos ini.

Sebagai penaja platinum SUKMA, MILO menawarkan pelbagai aktiviti di lapangan kepada pelajar sekolah termasuk kejohanan mini dan merasai pengalaman menyertai acara seperti olahraga, bola jaring, bola sepak, futsal, hoki dalam dewan, bola keranjang dan bola tampar.

Ketua Pemasaran bagi Sukan MILO Lim Kerwin berkata sokongan syarikat itu terhadap SUKMA mencerminkan komitmen berterusan mereka dalam membantu melahirkan juara pada masa depan dan menggalakkan gaya hidup masyarakat yang lebih sihat serta aktif.

“Kami berbangga kerana terlibat dalam perjalanan SUKMA ke-21, ke arah melakar pencapaian lebih hebat bagi sukan di Malaysia dan memainkan peranan dalam meningkatkan standard sukan di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA Datuk Hii Chang Kee turut menzahirkan penghargaan kepada MILO kerana peranan penting mereka dalam meraikan atlet muda.

“Sokongan mereka bakal menyumbang kepada pembangunan belia dan sukan, selain mencerminkan kepercayaan mereka terhadap potensi bakat muda kita," katanya.

Sepanjang temasya sukan itu, rakyat Sarawak juga bakal menyaksikan kehadiran trak hijau MILO yang ikonik yang akan ditempatkan di venue kejohanan, dengan minuman percuma akan diberikan kepada penonton.

SUKMA 2024 menawarkan 488 pingat emas menerusi 37 jenis sukan dan semua acara akan diadakan di 50 venue membabitkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sejumlah  9,927 atlet dari seluruh negara mengesahkan penyertaan mereka dalam temasya itu, dengan Brunei turut menghantar kontinjen mereka. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan